Friday, August 6, 2010

Dialog tentang Isu pekerjaan Di Kalangan OKU Penglihatan Anjuran MAB.

Pada 3 Julai yang lalu, saya telah berkesempatan menghadiri satu dialog tentang isu pekerjaan golongan OKU Penglihatan anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Block Pentadbiran persatuan tersebut. Dialog tersebut bermula jam 9 pagi dan berakhir dalam jam 12,30 tengahari. Namun begitu, saya sampai agak terlewat sedikit lantaran ada urusan lain di pejabat Yayasan selangor pada jam 8,30 pagi.

Fokus dialog ini ialah isu peluang pekerjaan golongan OKU Penglihatan khasnya di sektor awam iaitu yang berkaitan dengan dasar 1 % peluang pekerjaan kepada OKU di setiap jabatan kerjaan. Antara gensi kerjaan yang hadir selain dari wakil dari MAB dan beberapa orang OKU Penglihatan termasuk saya ialah:

1. Wakil dariSuruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
2. Wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
3. Wakil dari Bahagian OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat )JKM).
4. Wakil dari Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Sewaktu saya sampai, taklimat sedang disampaikan oleh Wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam tentang dasar 1% peluang pekerjaan terhadap OKU di jabatan kerjaan. Penganjuran dialog amat baik kerana ia dapat memperjelaskan tentang beberapa isu tentang peluang pekerjaan OKU Penglihatan khususnya. Antara isu yang dapat saya rumuskan dalam perbincangan tersebut ialah:

1. Calon OKU penglihatan yang memohon pekerjaan tidak perlu menduduki peperiksaan bertulis sebagaimana calon yang celik.Mereka akan terus dipanggil untuk temuduga. Oleh yang demikian, penilaian calon akan dilakukan semasa temuduga tersebut. Oleh itu, calon dinasihatkan untuk menunjukkan penampilan terbaik semasa temuduga tersebut. Misalnya mesti memiliki pengetahuan secara mendalam tentang jawatan yang dipohon serta bidang tugas yang akan dilaksanakan setelah menjawat jawatan tersebut, menunjukkan minat yang mendalam terhadap jawatan yang dipohon, berpakaian kemas dan menarik, yakin diri, menunjukkan keupayaan sebenar seseorang calon tersebut.Penilaian calon OKU semasa temuduga adalah sama dengan calon yang celik.Tiada keistimewaan.

2. Walau bagaimana pun dari aspek pencapaian akademik, calon OKU akan diberi sedikit kelonggaran. Bagi calon yang tidak memiliki ijazah, memadai dia lulus matapelajaran dalam peperiksaan SPM sahaja sudah memadai untuk dipertimbangkan untuk berkhidmat di sektor awam. Manakala bagi calon yang celik/tidak cacat, calon mestilah mendapat kredit dalam dalam SPM. Sementara itu, calon OKU yang memiliki ijazah diterima dan akan ditemuduga walau pun calon tersebut menamatkan pengajian dengan CGPA di bawah 2.75, yang penting lulus.Jika calon yang tidak cacat, minimum penmcapaian akademik setelah menamatkan pengajian ialah 2.75. Calon tersebut tidak akan dipertimbangkan untuk bekerja di sektor awam.

3. Pegawai pekerjaan di Bahagian OKU JKM akan dirujuk dan akan memberi nasihat kepada panel penemuduga sekiranya ada calon OKU yang akan ditemuduga dalam hal yang berkaitan tentang kebolehan dan keperluan OKU tertentu, “job matching” dan apa sahaja maklumat berkaitan dengan OKU.

4. Pihak JKM sedang menjalankan kempen kesedaran tentang OKU terhadap para majikan dan ketua jabatan di sektor awam bertujuan agar mereka sedar tentang kemampuan OKU untuk bekerja di jabatan mereka. Dengan itu, mereka boleh menerima dan tidak prejudis kepada pekerja OKU di jabatan mereka.Ini dilakukan melalui seminar dan latihan kepada pegawai yang berkhidmat di sektor awam.

5. Pihak Mab telah menyerahkan senarai jawatan yang boleh dipohon “job matching” oleh OKU Penglihatan kepada JKM sebagai garis panduan kepada pegawai tersebut sekiranya dirujuk oleh panel penemuduga sektor awam.

6. Isu kemudahan dan prasarana untuk OKU bekerja. Dalam dialog tersebut, pihak JKM dan JPA menyatakan mengapa OKU Penglihatan kurang diberi peluang untuk diambil bekerja dalam sektor awam ialah kerana tidak ada kemudahan yang bersesuaian seperti tandas OKU, banyak tangga, bangunan yang kurang sesuai, susah untuk bergerak dan lain-lain. Menyediakan kemudahan ini memerlukan kewangan yang banyak.

Saya amat tidak bersetuju dengan pendapat ini, dan telah menjelaskan kepada mereka bahawa OKU penglihatan tidak memerlukan kemudahan tersebut. Kemudahan tersebut hanya diperlukan oleh OKU anggota sahaja. Disamping itu, kita boleh bergerak ke mana sahaja setelah membiasakan diri dengan sesuatu tempat dalam beberapa hari sahaja. Saya menjelaskan lagi bahawa apa yang penting ialah kemudahan alat bantuan teknologi iaitu komputer dan pembaca skrin “voice screen reader” untuk bekerja. Ini merupakan alasan yang biasa kita dengar dari ramai majikan untuk tidak mengambil OKU Penglihatan di tempat mereka. Mereka tidak faham bahawa keperluan OKU Penglihatan dengan OKU lain adalah berbeza. Kita boleh mengakses sesuatu tempat biar pun tiada kemudahan fizikal tersebut. Buktinya di sekolah dan universiti yang ramai diantara kita telah dan sedang belajar tak ada pun kemudahan seumpama itu. Saya nyatakan juga malah orang buta pun telah berjaya mendaki gunung kinabalu.

Alhamdulillah saya merasakan bahawa sudah semakin ramai OKU Penglihatan yang sedang berkhidmat di sektor awam terutamanya yang memiliki ijazah. Jika sebelum ini, bidang perguruan telah menjadi penyumbang terbesar kepada peluang pekerjaan OKU Penglihatan berijazah, kini mereka mempunyai peluang berkhidmat di sektor awamsebagai seorang pegawai. Buktinya beberapa orang rakan saya telah berkhidmat di sektor awam sebagai pegawai iaitu di JKM dan JAKIM. Disamping itu ada juga rakan-rakan saya yang telah mengikat kontrak dengan beberapa buah universiti untuk menjadi seorang pensyarah. Ini menunjukkan peluang pekerjaan untuk OKU Penglihatan yang berijazah semakin terbuka luas. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

6 comments: