Wednesday, August 11, 2010

Pertemuan antara Mahasiswa OKU Dengan Menteri Pengajian Tinggi Di Kolej Kediaman Ketujuh Universiti Malaya.

Pertemuan antara Mahasiswa OKU Dengan Menteri Pengajian Tinggi Di Kolej Kediaman Ketujuh Universiti Malaya.

Pada 8 Julai 2010, Menteri Pengajian Tinggi Datok SERi Mohamad Khalid Nordin telah berkunjung Ke Kolej Kediaman Ketujuh dan bertemu dengan Mahasiswa OKU. Pertemuan itu berlangsung selama sejam sahaja iaitu jam 12.00 hingga 1.00 tengahari sempena lawatannya ke Universiti Malaya kerana kemasukan pelajar baru. Saya telah menghadiri majlis tersebut pada hari berkenaan.

Sebenarnya Majlis menyambut kehadiran Datok Seri Khalid Nordin bermula jam 11.00 lagi. Sebelum kedatangan beliau, majlis telah dimulakan dengan suai kenal antara mahasiswa OKU yang lama dan baru, penyelia kolej dan pengetua. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh pengetua kolej kediaman Za’ba sendiri. Selepas sesi suai kenal, sesi diskusi antara pengetua dan mahasiswa OKU telah diadakan. Dalam sesi ini Mahasiswa OKU boleh mengemukakan apa jua saranan dan cadangan yang berkaitan dengan Hal-ehwal Mahasiswa OKU untuk diajukan kepada YB menteri pengajian tinggi dalam ucapan pengetua nanti. Lebih kurang jam 12,00 tengahari, YB Datok Seri Khalid Nordin yang diiringi oleh Naib Canselor iaitu Datok Gaus Jasmon), Timbalan Naib Canselor Hah-ehwal dan Alumni UM (Datok Azrai Hj Idris) dan lain-lain tetamu kehormat telah tiba di Bilik Seri Jati (bilik yang dikhususkan kepada mahasiswa OKU untuk belajar dan menjalankan aktiviti). Satu taklimat telah diberikan oleh pengetua Kolej kediaman Za’ba tentang perkembangan dan kemudahan yang disediakan oleh kolej terhadap mahasiswa OKU dan cadangan yang telah dikemukan oleh mahasiswa OKU kepada YB Menteri. Dalam ucapan YB Menteri, isu yang dikemukakan ialah berkaitan dengan elaun mahasiswa OKU di IPT. Beliau menyatakan bahawa elaun tersebut kekal RM 300 sebulan. Tetapi sebagai tambahannya Pihak kementerian akan membayar yuran pengajian dengan peruntukkan maksimum RM 5000 setahun.

Hasil dari sesi diskusi tersebut di bawah ini adalah merupakan cadangan Mahasiswa OKU kepada kementerian Pengajian Tinggi demi meningkatkan kebajikan dan pendidikan mahasiswa OKU di seluruh institut pengajian tinggi.

Percambahan idea untuk menambahbaikkan kualiti mahasiswa-mahasiswi OKU di IPT.
Dalam sesi percambahan idea beberapa idea yang bernas telah dihasilkan. Idea-idea berkenaan adalah seperti berikut:

i) Biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke IPT.
ii) Dasar (1) % pekerja OKU disektor awam terutamanya dibidang akademik IPT.
iii) Penubuhan Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa OKU di Kementerian Pengajian Tinggi.
iv)Mengkaji semula pemberian elaun Mahasiswa di peringkat IPT.

Dalam jangka masa yang singkat, hanya beberapa OKU sempat mengeluarkan idea dan cadangan yang akan dikemukan kepada Menteri Pengajian Tinggi, semasa beliau melawat kolej kediaman Za’ba.

Menghalusi idea yang dijanakan

i) Biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke IPT.
-Memudahkan dan menambahkan peluang Mahasiswa OKU mendapat biasiswa JPA dalam negeri semasa melanjutkan pengajian di peringkat IPT.
-Mempermudahkan dan mepertingkatkan peluang mahasiswa dan mahasiswi mendapat hadiah latihan persekutuan untuk membolehkan mahasiswa-mahasiswi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana lanjutan.
-Pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu membantu dan meningkatkan peluang mahasiswa-mahasiswi OKU untuk mendapatkan Biasiswa JPA Tempatan di peringkat sarjana muda IPT tempatan.

ii) Dasar (1)% pekerja OKU di sektor awam terutamanya di bidang akademik IPT .
-Kementerian pengajian tinggi perlu memberi pertimbangan dan peluang yang saksama dalam urusan pelantikan kakitangan akademik OKU di peringkat IPT Malaysia.
-Mahasiswa-mahasiswi OKU yang mencapai tahap akademik yang telah ditetapkan oleh kementerian pengajian tinggi wajarlah diserap menjadi kakitangan akademik tetap di IPT.
-Mahasiswa-mahasiswi OKU yang berpotensi mencapai tahap akademik sarjana lanjutan ke atas wajarlah kementerian pengajian tinggi mempertimbangkan pemberian biasiswa seperti Hadiah Latihan Persekutuan dalam usaha merialisasikan 1% pekerja sektor awam terdiri daripada OKU seperti yang dinyatakan dalam surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2008.

iii) Penubuhan Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa OKU di Kementerian Pengajian Tinggi.
-Unit Percetakan Braille untuk menyediakan bahan, jurnal dan laporan yang diperlukan oleh mahasiswa-mahasiswi OKU masing-masing dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti akademik mereka.
-Unit Pemantauan dan Penyelaras Persatuan pelajar OKU di IPT perlu ditubuhkan dalam usaha memastikan IPT yang mempunyai mahasiswa-mahasiswi OKU mempunyai peluang menimba pengalaman berorganisasi.
-Unit Penyediaan dan Pemantauan Kualiti Infrastruktur OKU perlu ditubuhkan dalam usaha mewujudkan dan memastikan kualiti kemudahan infrastruktur mahasiswa-mahasiswi OKU IPT terjamin di seluruh IPT.
-Unit Pembangunan dan Persediaan Kerjaya Mahasiswa-Mahasiswi OKU perlu ditubuhkan untuk merancang, membangunkan dan melaksanakan program-program dalam usaha memastikan mahasiswa-mahasiswi OKU memperolehi pekerjaan selepas tamat pengajian.
-Unit Penyelidikan dan Pembangunan OKU. Unit ini diberi tanggungjawab untuk menyediakan geran penyelidikan berkenaan dengan OKU. Unit ini juga diberi tanggungjawab untuk menjalankan aktiviti kajian dan pembangunan OKU Malaysia.
-Unit Kebajikan Mahasiswa-Mahasiswi OKU perlu ditubuhkan dalam usaha memastikan pihak pentadbir IPT membela dan menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswi OKU di institusi mereka.

iv) Mengkaji semula pemberian elaun Mahasiswa di peringkat IPT.
-Sistem pemberian elaun mahasiswa-mahasiswi OKU di IPT perlu dikaji semula selaras dengan peningkatan taraf hidup di Malaysia.
-Pada masa kini kadar pemberian elaun mahasiswa-mahasiswi OKU adalah sama tanpa mengambil kira peringkat pengajian di IPT.
-Kementerian Pengajian Tinggi perlu melaksanakan pemberian elaun mahasiswa-mahasiswi OKU mengikut peringkat pengajian masing-masing.
-Hal demikian disebabkan di peringkat pengajian yang berbeza, perbelanjaan untuk keperluan pengajian adalah jauh berbeza.



Percambahan idea dan cadangan diharap dapat memberi manfaat yang besar kepada seluruh mahasiswa OKU di seluruh IPTA dan IPTS. Namun begitu, susulan perlulah dibuat oleh pihak yang bertanggung-jawab agar segala cadangan yang dikemukakan dapat dijalankan semampu yang boleh.

No comments:

Post a Comment