Friday, July 30, 2010

Majlis Perkahwinanku


Majlis Perkahwinanku.


Alhamdulillah pada 19 Jun 2010 yang lalu, aku telah dijab kabulkan dengan seorang wanita yang amat aku sayangi iaitu Misbah BT Kasim di Masjid Kg Binjai, Jejawi, Pasir Mas Kelantan. Majlis aqad nikah itu berlangsung jam 3 petang yang dihadiri oleh semua sanak saudara dari keluargaku dan isteri. Berdebar-debar juga aku rasakan sewaktu akad nikah tersebut. Tetapi alhamdulillah Allah memberikan kekuatan dan ketenangan kepadaku. Dengan sekali lafaz sahaja, akad nikah itu selesai. Kerap kali juga aku mendengar cerita dan selalu dipesan oleh rakan-rakan yang sudah berpengalaman bahawa ada juga pengantin yang terpaksa melafazkan akad nikah berkali-kali. Nasib baik peristiwa itu tidak berlaku kepadaku. Selepas majlis akad nikah tersebut, kenduri perkahwinan telah diadakan di rumah isteriku. Walimah yang diadakan adalah sederhana dan ringkas sahaja. Kami tidak bersanding. Cuma sarung cincin dan membatalkan wudhu’ di bilik pengantin yang disediakan yang disaksikan oleh keluarga terdekat sahaja. Kenduri yang diadakan adalah berupa kenduri kesyukuran sahaja dan bukaannya undangan perkahwinan.

Antara undangan perkahwinan dan kenduri kesyukuran ini ada bezanya di Kelantan. Jika mengadakan kenduri kesyukuran, tetamu yang datang tidak perlu membawa wang untuk majlis tersebut. Oleh yang demikian, mereka biasanya membawa barang keperluan asas seperti gula, beras dan sebagainya kepada tuan rumah. Tetapi jika undangan perkahwinan, tetamu biasanya akan menyumbangkan duit untuk majlis tersebut dan pelbagai upacara akan diadakan seperti nyanyian, DJ, dan sebagainya untuk memeriahkan majlis tersebut.
Seramai lebih kurang 400 orang telah menghadiri kenduri kesyukuran yang diadakan oleh pihak pengantin perempuan. Alhamdulillah semua makanan habis.Namun begitu, walaupun walimah itu berakhir jam 6,00 petang, tetapi ramai juga tetamu yang datang lewat sehingga ke malam. Nasib baik masih ada sedikit lagi makanan yang boleh dihidangkan kepada mereka.


Pada hari esoknya pula iaitu pada 20 Jun 2010, walimah diadakan pula di pihak pengantin lelaki (menyambut menantu). Aku telah pulang dahulu ke rumahku dan menunggu ketibaan pengantin perempuanbersama keluarganya. Majlis bermula jam 12 tengahari. Pada jam 1,30 tengahari rombongan rakan-rakanku dari Kuala Lumpur seramai 32 orang telah tiba. Mereka menaiki sebuah bas persiaran yang telah ditempah khas untuk perjalanan tersebut. Malangnya bas tersebut tidak masuk ke dalam kampungku kerana jalannya kecil menyebabkan bas tersebut tidak boleh melaluinya.Jadi, rombongan tersebut terpaksa berjalan sejauh lebih kurang 1 KM untuk sampai ke rumahku. Aku menyambut kedatangan mereka dengan hati yang gembira. Akhirnya mereka sampai juga ke rumahku. Sambil mereka dihidangkan dengan juadah yang disediakan, aku sempat bergambar dengan mereka (Kalau nak tengok gambar, layari “facebook” saya). Pada masa yang sama, aku ternanti-nanti kehadiran pengantin perempuan. Namun begitu, rombongan pengantin perempuan tidak juga sampai. Oleh kerana mereka kesuntukan masa kerana perlu sampai ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya jam 11 malam, mereka tidak sempat bertemu dengan pengantin perempuan. Pengantin perempuan hanya sampai sebaik sahaja mereka meninggalkan rumahku.Sementara itu, ada juga antara rakan-rakanku dari Kuala Lumpur yang datang sendiri tanpa menyertai rombongan bas tersebut. Rakan-rakanku dari Kelantan juga telah hadir ke majlis perkahwinanku terutama Saudara Mohd Faizal yang datang kedua-dua majlis pengantin perempuan dan lelaki termasuk majlis akad nikah. Aku mengucapkan berbanyak terimakasih kepada semua rakan-rakanku yang telah sudi hadir ke majlis perkahwinan yang diadakan meski pun mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan mengorbankan wang, masa dan tenaga mereka sanggup juga datang. Terimakasih juga kerana telah menghadiahkanku dengan pelbagai barangan dan wang ringgit. Semoga pengorbanan dan jasa kalian akan mendapat balasan yang setimpal dari Allah. Amin.

Walimah di rumahku bermula jam 12,00 tengahari dan berakhir jam 6,00 petang. Oleh kerana hari tersebut hari bekerja di Kelantan, ramai tetamu yang datang pada sebelah petang iaitu selepas jam 4,00 petang. Alhamdulillah semua makanan habis. Sebelum Maghrib, kenduri tersebut selesai. Antara juadah istimewa yang dihidangkan kepada para tetamu yang hadir ialah kuih akok dan kerabu nangka.

Sudah jodoh. itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Bukan apa, aku teringat kisah percintaanku dahulu dengan beberapa orang gadis yang celik. Namun semuanya gagal. Sebab mudah sahaja iaitu tidak direstui oleh ibubapa mereka kerana “aku seorang buta”. Keadaan itu menyebabkan ibubapa gadis tersebut menghalang perhubungan aku dengan anak mereka. Mereka tidak yakin tentang keupayaan orang buta menyara anak mereka. Ada juga yang takut nanti cucu mereka akan jadi buta. Tak kurang juga yang merasa malu dengan masyarakat setempat bila dapat menantu buta. Itulah nasib insan buta selalu dipandang rendah oleh masyarakat. Nak kahwin pun susah. Persepsi negatif seumpama ini patut dihapuskan dari pemikiran ibubapa. Ini kerana ramai orang buta yang telah berkahwin sema ada dengan rakan senasib atau orang celik telah berjaya dalam mendidik anak dan rumahtangga. Ramai juga pasangan yang celik gagal dalam perkahwinan mereka dan tak berupaya menyara keluarga mereka. Oleh yang demikian, “buta” bukan penghalang untuk berumahtangga kerana mereka mampu untuk berdikari dan mengemudi rumahtangga dengan baik.

Aku anggap bahawa Itu adalah ujian dari Allah untuk insan buta sepertiku. Begitu jugalah dengan Perkahwinanku yang pada mulanya tidak dipersetujui oleh keluarga isteriku. Namun Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah akhirnya keluarga isteriku telah bersetuju dan sehingga sekarang mereka telah menerima kehadiran aku dalam keluarga mereka dan melayaniku dengan baik sekali. Itulah yang aku maksudkan “kalau dah jodoh tu takkan ke mana”. Seperti kata orang “kalau bukan jodoh kita, sejuta tangan yang menyokong sekali pun, pasti tidak akan jadi. Tapi kalau dah jodoh, sejuta tangan menghalang sekali pun, tetap akan jadi”. Ini membuatkan aku tertawa seorang diri mengenangkan kisah-kisah tersebut. Bukan apa. Sebenarnya pelbagai usaha yang aku telah lakukan dalam misi mencari teman istimewa untuk dijadikan isteri. Setelah berusia 35 tahun barulah aku bertemu jodoh. Satu penantian yang agak panjang. Tapi aku tetap bersyukur kerana akhirnya aku berkahwin juga. Lambat atau cepat jodoh seseorang itu sudah tentulah ada hikmah di sebaliknya. Dalam penulisan yang akan datang, aku akan kongsikan tengang pengalaman ku dalam usaha mencari jodoh untuk tatapan para pembaca. Ada yang sedih, lucu dan kelaka. Itulah rencah yang menjadikan kehidupan kita bertambah serinya. Setiap cabaran itu akan menjadikan jiwa kita kuat dan iman kita meningkat.

3 comments:

  1. salam abang zam, saya baru baca artikel yang abg zam poskan dalam blog tu. itulakali pertama saya datang kelantan. malahan, walimah tu jugak kali pertama saya dapat door gift surah yasin. juadah yang paling saya suka adalah kerabu nagka. apapun, tq a million pada abg zam and family sbb melayan kami semua. harap2 saya dpt datang ke kelantan lg satu hari nanti. halawatul iman

    ReplyDelete
  2. abang zam tahniah...maaf fizan tak dapat menghadiri majlis abang zam....sekali lagi tahniah....

    ReplyDelete
  3. terima kasih kerana sudi datang.
    tak dapat pergi takpa. doakan kebahagian kami pun cukuplah.

    ReplyDelete