Monday, July 19, 2010

BENGKEL PENINGKATAN ESTIM DIRI OKU UIA


Assalamualaikum kepada para pengunjung blog ini. Alhamdulillah bertemu di dalam dunia cyber setelah sekian lama saya tidak menulis iaitu lebih dari 3 bulan. Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis dalam blog ini kerana agak sibuk dengan pelbagai urusan sehingga saya alpa dari menulis dalam blog ini.Jutaan terima kasih kepada semua para pembaca yang masih sudi melayari blog biar pun sudah sekian lama tak “update”. Di sini saya ingin kongsikan dengfan anda tentang satu program yang telah saya sertai bersama dengan Mahasiswa OKU Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan Pahang.

Pada 28 hingga 30 Mei 2010, saya telah dijemput oleh Mahasiswa OKU dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam Bengkel meningkat Estim Diri anjuran mereka di Hotel MS Garden di Kuantan Pahang. Program ini berlangsung selama 3 hari iaitu dari hari jumaat hinggalah hari ahad. Program ini telah disertai oleh 13 mahasiswa OKU UIA dari kampus utama di Kuala Lumpur dan Kampus Kuantan. Saya telah dijemput sebagai motivator kepada mereka paada slot malam Sabtu. Disamping itu, mereka juga telah menubuhkan sebuah Kelab Mahasiswa OKU di UIA bagi menjaga kebajikan dan mewakili suara mahasiswa OKU di UIA. Tahniah saya ucapkan kepada mereka.

Untuk pengetahuan semua, di UIA juga terdapat ramai mahasiswa ZOKU sebagaimana di universiti Malaya dan lain-lain IPTA. Tetapi kebanyakan mereka mengalami kecacatan fizikal dan pendengaran.Tidak seorang pun yang cacat penglihatan. Namun begitu, ada seorangmahasiswaya yang rabun dan mengalami masalah pendengaran (hearing impairment)dan dia dikategorikan sebagai kecacatan pelbagai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Masalah pendengaran di sini bermaksud mereka pekak tetapi mengalami gangguan pendengaran pada masa-masa tertentu.

Dalam program ini mereka telah menubuhkan sebuah ahli jawatankuasa penaja kepada penubuhan sebuah persatuan mahasiswa OKU UIA. Setahu saya, ini merupakan persatuan yang kedua yang ditubuhkan selepas Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya (PERMIUM).Selain itu, saya juga telah dihubungi oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas maksud yang sama iaitu untuk menubuhkan sebuah kelab untuk OKU di sana. Ini merupakan satu usaha yang sangat baik dari IPTA di Malaysia agar nasib mahasiswa OKU lebih terbela dan dihormati.
Tapi yang paling best dalam program ini ialah saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru dari UIA. Dengan ini, saya dapat belajar sesuatu yang baru daripada mereka yang berbeza kecacatan dengan saya. Saya mengalami kecacatan penglihatan (buta), manakala rakan dari UIA kebanyakannya mengalami kecacatan fizikal (anggota) disamping kecacatan pendengaran dan pelbagai. Sebelum ini saya juga mempunyai kenalan dari kalangan kecacatan yang lain di Universiti Malaya. Namun kali ini, saya dapat pula berkenalan dengan mahasiswa OKU dari UIA pula. Mereka semuanya peramah dan sangat suka membantu. Salah seorang daripada mahasiswa OKU juga kmerupakan pelajar luar negara iaitu dari Afghanistan. Selain dari mahasiswa OKU, program ini juga disertai oleh mereka yang tidak cacat sebagai sukarelawan. Begitu juga dengan beberapa orang staf yang menjaga hal-ehwal OKU di sana. Oleh itu dapatlah saya berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan tentang mahasiswa OKU di universiti masing-masing.

Perkenalan kami bermula pada 22 Januari yang lalu di Universiti Malaya dalam program Kerjaya OKU di mana saya telah membentangkan pengalaman dan cabaran hidup saya sebagai seorang buta dalam program tersebut. Tambahan, saya juga ada menceritakan tentang penglibatan saya secara aktif dalam PERMIUM sejak dari awal penubuhannya lagi. Ini telah menarik minat dan tercetusnya idea untuk menubuhkan persatuan yang sama di UIA. Secara kebetulan juga, kami duduk semeja sebagai peserta dalam program tersebut sebagaimana yang telah saya laporkan dalam blog ini beberapa bulan yang lalu. Oleh yang demikian, saya telah dijemput bagi membantu mereka dalam penubuhan persatuan di UIA.

Penubuhan persatuan atau kkelab sebenarnya akan memberi banyak manfaat dan faedah kepada mahasiswa OKU itu sendiri. Misalnya penubuhan PERMIUM di Universiti Malaya telah memberi banyak manfaat kepada golongan mahasiswa OKUyang belajar di sini. Antaranya ialah:

1. Menjadi suarra yang mewakili mahasiswa OKU dalam memperjuang hak dan kebajikan mahasiswa OKU dari pihak pentadbir universiti.
2. Memberi kesedaran kepada warga kampus khususnya dan masyarakat keseluruhannya tentang kemampuan dan ketarampilan mahasiswa OKU melalui penganjuran program kesedaran awam, program motivasi, khidmat masyarakat yang dianjurkan sendiri oleh persatuan.
3. Mengeratkan sulatur rahim diantara mahasiswa OKU yang terdiri dari pelbagai kecacatan di universiti.
4. Mengintegrasikan mahasiswa yangOKU dan tidak OKU melalui kerjasama, kolaborasi dan seumpamanya dalam kehidupan seharian dan penganjuran program tertentu.
Hasil dari penubuhan PERMIUM itu sendiri, pelbagai perubahan yang positif telah berlaku di universiti ini di mana semakin banyak prasarana yang disediakan oleh pihak universiti kepada mahasiswa OKU. Kita juga terlibat dalam pelbagai penganjuran program dan projek oleh pihak persatuan sendiri seperti kem motivasi, Khidmat masyarakat, seminar, “road tour reader”, dan lain-lain yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa semata-mata tetapi juga kepada masyarakat. Penubuhan persatuan juga memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa OKU untuk mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran berorganisasi. Ini membolehkan mereka menonjolkan bakat dan keterampilan masing-masing melalui penglibatan yang aktif dalam aktiviti dan kepimpinan persatuan. Ini penting bagi membina estim diri dan personaliti yang lebih positif dan cemerlang. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini sangat penting dan akan diambil kira sebagai salah satu kriteria semasa memohon pekerjaan oleh pihak majikan. Pengalaman berorganisasi amat berharga kepada setiap warga mahasiswa OKU untuk mempertingkatkan diri demi masa hadapan.

Satu lagi perkara yang menarik semasa program ialah makanan yang dihidangkan di Hotel MS Garden memang sedap dan lazat. Perut santiasa kenyang. Alhamdulillah dapatlah makan free, jimat duit untuk 2 hari. Salah satu acara dalam program di hotel tersebut ialah “grand dinner” di mana dalam majlis tersebut, para peserta menyumbangkan bakat masing-masing dalam bidang nyanyian. Saya juga telah menyumbangkan sebuah lagu nasyid iaitu “muhasabah cinta” dari kumpulan Ekostik. Dalam majlis tersebut kami telah dihidangkan dengan “chinese food” yang sangat lazat.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) juga telah dijemput untuk memberikan penerangan tentang peranan JKMM bagi merealisasikan peluang 1 % pekerjaan oleh sektor awam kepada golongan OKU. Begitu juga dengan peranan JKM secara keseluruhan terhadap golongan OKU. Dialog juga telah diadakan dengan pihak JKM tentang peranannya dalam menangani isu yang berkaitan dengan OKU.

Setelah resolusi dibuat dalam bengkel tersebut, mereka pada masa yang sama telah menubuhkan persatuan Mahasiswa OKU UIA. Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang dan singgah sebentar di Pantai Teluk Cempedak untuk membeli cenderahati untuk dibawa balik. Kami telah sampai di Kampus UIA di Gombak pada jam 7 malam. Salah seorang Mahasiswa OKU UIA telah menghantar saya pulang ke Batu 6 Gombak dengan keretanya.

Kesimpulannya, kesedaran tentang pentingnya persatuan mahasiswa OKU semakin pesat di kalangan mahasiswa OKU di beberapa buah universiti bagi memperjuang dan membela nasib mahasiswa OKU di universiti masing-masing. Ini adalah satu perkembangan yang positif dan usaha yang murni demi masa hadapan mahasiswa OKU. Mudah-mudahan penubuhan persatuan ini akan berjaya dan mencapai matlamatnya.Tahniah kepada mahasiswa OKU UIA atas penubuhan persatuan tersebut.

No comments:

Post a Comment