Thursday, March 4, 2010

SECORET PERISTIWA DARI MENARA GADING ; PENGALAMAN MENYERTAI PROGRAM SPIRITUAL HAPPINESS

SECORET PERISTIWA DARI MENARA GADING ; PENGALAMAN MENYERTAI PROGRAM SPIRITUAL HAPPINESS

Pada 18 hingga 20 Februari saya telah menyertai satu program motivasi yang bertajuk “Spiritual Happiness” Anjuran bersama Seksyen Kaunseling, Kerjaya dan OKU dan Syarikat Airborne Discovery. Program tersebut diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman kedua belas. Peserta OKU hanya ada dua orang iaitu saya dan Arif. Alhamdulillah programnya sangat menarik dan begitu bermanfaat sekali untuk kami. Program tersebut telah disertai oleh lebih kurang 30 orang pelajar Universiti Malaya dari pelbagai fakulti.

Pengisian program terdiri dari Ceramah Oleh Haji Norazizan dan Ustaz Afandi Jamhur, pelbagai simulasi dan latihan serta tayangan pelbagai klip vedio, aktiviti padang, Dari hati ke hati, Qiamul lail dan Hipnoterapi. Memang tak boring dan tak mengantuk. Jutaan terima kasih diucapkan kepada saudara Fahmi dan Rizqi kerana begitu setia tanpa jemu membantu saya dan Arif sepanjang program berlangsung. Semoga Allah sentiasa merahmati dan sentiasa melimpahkan kalian dengan nikmat yang tidak terhingga. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain yang sama-sama menyokong kami berdua. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Haji Norazizan dan Para fasilitator yang telah membantu kami sepanjang program.

Dalam program ini peserta telah didedahkan dengan asal kejadian manusia dari dalam rahim ibu sehinggalah kita dilahirkan. Peserta telah dipertontonkan dengan beberapa klip vedio yang berkaitan dengan proses kejadian manusia.Para peserta juga dipertonton tentang kejadian yang mengerikan dan dahsyat seperti tsunami dan gempa bumi. Antara klip vedio yang menyentuh hati saya ialah kisah pengguran bayi. Sebenarnya banyak lagi klip vedio yang dipertontonkan.Tetapi tidaklah dapat saya sebutkan semuanya. Semuanya ini bertujuan untuk menyedarkan tentang hakikat kejadian manusia yang dilahirkan sebagai seorang juara. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan rasa bersyukur tentang nikmat kehidupan yang sedang kita kecapi kurniaan Allah. Yakin pada diri, percaya kepada potensi diri, menghargai diri sendiri dan orang lain serta alam sekililing, sabar menghadapi ujian hidup, membina ukhwah dan kasih-sayang sesama insan, taat kepada Allah, Rasul dan menghargai ibubapa. Ibubapa adalah elemen yang penting dalam membina kekuatan spiritual dan beroleh kejayaan dunia akhirat.

Disamping itu, banyak juga simulasi yang dilaksanakan dalam program yang menarik. Antaranya melepaskan diri dari tali yang diikatkan kepada tangan dua orang, membuat pesawat, mengoyakkan kertas melalui arahan yang diberikan, borang nikmat kehidupan, melukis wajah kawan dan simulasi persahabatan. Disamping itu juga, kami juga melakukan senaman dan permainan yang menarik sebagai selingan dalam program tersebut.Misalnya, permainan hujan rintik-rintik, Osman-omar, Marina menari di menara, aktiviti berjalan dalam bulatan dan banyak lagi.

Pada pagi jumaat 19 Februari, kami semua dikehendaki melakukan aktiviti padang melalui aktiviti tertentu secara berkumpulan. Permainannya mencabar dan benar-benar menguji kekuatan minda dan spiritual peserta. Antara permainan itu ialah:
1. memindahkan buluh dari kawan kepada kawan dalam kumpulan menggunakan leher dan tidak boleh disentuh dengan tangan.
2. Memasukkan guli dalam batang paip.
3. memindahkan telur menggunakan tali.
4. Gincu mix.
5. Gelen bocor.
6. bersilang tangan.
7. Memindahkan kawan di atas riba kawan secara berbaring.

Semua aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua pasukan kecuali gelen bocor. Semua pasukan gagal mencapai matlamatnya. Gelen bocor ini memerlukan kesabaran dan perancangan strategi yang tepat untuk menimbulkan bola pingpong di permukaan gelen. Peserta dikehendaki menutup lubang di sekeliling gelen tersebut agar air tidak keluar apabila diisi dengan air. Nampak macam mudah tapi susah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan kerjasama, strategi dan perancangan yang tepat.

Apa yang menariknya lagi, Syarikat Airborne Discovery juga menyediakan perkhidmatan ”finggerprint analysis” iaitu analisa cap jari manusia. Melalui cap jari ini kita dapat tahu kekuatan dan kelemahan semulajadi kita.Cap jari 10 jari kita akan di imbas melalui alat pengimbas yang disambungkan ke komputer. Melalui cap jari itu satu analisis melalui satu perisian khas dan keputusan akan dikeluarkan dengan bakat dan kelemahan kita. Ini bukan bermaksud kita tidak boleh ubah diri kita. Kita boleh mengubahnya kalau kita mahu. Tapi ini adalah panduan tentang kekuatan dan kelemahan yang ada pada kita. Analisa cap jari dibuat melalui kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi. Kita pertingkatkan bakat dan kekuatan kita. Sementara pada masa yang sama baikilah kelemahan diri kita.

Pengajaran yang diperolehi dari program ini adalah seperti berikut:

1. Setiap manusia yang dilahirkan adalah seorang juara.Kekalkanlah kejuaraan itu sehingga ke akhir hayat kita.
2. Kehidupan ini merupakan perpindahan dari satu masalah kepada masalah yang lain. Oleh itu, hadapilah setiap masalah dengan sabar, tenang dan bersyukur kepada Allah.
3. Yakin dan percayalah kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan.
4. Bersedialah untuk melepaskan apa sahaja yang kita sayang dalam hidup kita agar kita tidak menderita apabila kita kehilangannya.
5. Pentingnya kita menghargai diri sendiri, ibubapa, sahabat dan orang di sekeliling dalam kehidupan kita.
6. Berbaktilah kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada kita.
7. Bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.
8. Persiaapkan diri untuk menghadapi kematian dengan amal yang soleh.
9. Pentingnya kerjasama dalam pasukan.
10. Kejayaan adalah milik semua orang yang ingin dan berusaha keuntuk mencapainya.
11. Pentingnya persahabatan.
12. Pentingnya memiliki hati yang bersih.
13. Kekuatan spiritual merupakan elemaen yang penting selain dari emosi, mental dan fizikal seseorang.
14. Pentingnya kita redha kepada setiap musibah yang melanda diri dan keluarga kita.
15. Setiap apa yang berlaku ke atas diri kita ada hikmah disebaliknya.
16. Kehidupan adalah ujian dari Allah untuk kita.

Akhir kata, terimakasih kepada kalian yang tidak jemu-jemu membantu dan menyokong dalam program tersebut. Terimakasih juga kepada Chen Ho kerana telah menghadiahkan sebuah lukisan wajah saya. Bersyukur kepada Allah yang telah memilih saya sebagai salah seorang peserta program.

No comments:

Post a Comment