Wednesday, March 10, 2010

PEMERGIAN IBU DAN ABANG YANG DIKASIHI

PEMERGIAN IBU DAN ABANG YANG DIKASIHI.
Satu peristiwa yang masih tetap segar dalam ingatanku ialah saat aku menerima berita ibu yang telah pulang ke rahmatullah. Ketika itu aku dan tiga orang rakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lipis Pahang kerana menghadiri ceramah dalam program “Jihad Ekonomi” bersama SuRECO iaitu sebuah syarikat jualan langsung bumiputera yang kini telah tersungkur. Dalam program tersebut aku juga tidak ketinggalan untuk memberi ceramah tentang “kenapa saya menyertai Sureco”. Ini kerana aku merupakan satu-satunya OKU penglihatan yang telah berjaya mendapat pangkat bintang delima dalam heirarki pangkat berdasarkan kejayaan dalam syarikat tersebut.

Lebih kurang jam 2 pagi, aku telah dihubungi oleh adikku yang menyampaikan berita kematian ibuku. Aku meminta adikku agar mengkebumikan ibu setelah aku dan adik-beradik yang lain sampai ke rumah. Aku begitu sedih kerana telah kehilangan ibu yang sangat aku kasihi. Namun, aku redha dan menerima berita tersebut dengan penuh kesabaran. Air mataku sedikit pun tidak mengalir. Memang sebelum ini pun ibuku sudah beberapa kali keluar masuk wad kerana penyakit darah tingginya. Dua minggu sebelumnya aku sempat bersama dengan ibuku kerana aku telah pulang ke kampung untuk bercuti sebelum memulakan semester baru di Universiti Malaya. Tak kusangka itulah pertemuan terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. ”Wahai ibuku semoga dikau mengampunkan semua dosaku terhadapmu dan halalkanlah segala makan minumku selama ini.”

Berita tersebut aku sampaikan kepada tiga rakan-rakanku yang berada dalam kereta tersebut. Mereka mengucapkan takziah kepadaku. Kereta yang kami naiki meluncur laju ke arah Kuala Lumpur. Ketika hendak sampai ke Bentung, tiba-tiba pemandu kereta tersebut memperlahankan kereta. Dia berkata:

”Eh, Haji cuba lihat di atas langit sana, ada awan yang membentuk Kalimah Allah.”

Aku terpinga-pinga. Aku bertanya dalam hati sendiri.

”Betulkah apa yang mereka lihat ni?” Hatiku bertanya sendiri.

”Betul ke Haji, Faiz kalimah Allah yang awak lihat tu?” Aku bertanya.

”Ya betul.” kata haji.

Faiz memberhentikan kereta dan mereka keluar untuk melihat dengan lebih jelas lagi. Ketiga-tiga rakanku dapat melihat dengan lebih jelas lagi dan ia menjadi semakin terang.

”Mungkin ini petanda bahawa ibu awak telah diredhai oleh Allah Ta’ala. Dan ini adalah penghibur kepada kesedihan awak.” Kata Haji.
Aku diam sahaja. Mungkin betul kati Haji tu. Kami pun meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Menurut kata Haji Lama juga dia nampak awan yang membentuik kalimah Allah tu sehingga ke bentung barulah ia hilang.

”Semoga ada petanda yang baik dari kejadian ini.” Aku berkata dalam hati.

Sampai di Medan Idaman, kami pun mengisi perut dengan nasi goreng. Kemudian mereka menghantarku pulan ke rumah untuk bersiap untuk pulang ke kampung di Pasir Mas Kelantan. Aku pulang bersama adikku dan isterinya dengan menaiki kereta. Begitu juga dengan adik bongsuku yang baru saja melanjutkan pelajarannya di UKM. Kami bertolak ke kampung pada jam 4 pagi dan sampai ke rumah jam 10 pagi.

Sesampainya di rumah aku terus duduk di hadapan jasad ibu yang terbujur kaku. Aku sempat membacakan Surah Yasin yang telah kuhafal sejak sekian lama. Selepas itu jasad ibu telah dimandikan. Selepas dimandikan dan dikafankan, kami adik-beradik diberi peluang untuk melihat wajah ibu buat kali terakhir. Aku tidak mampu untuk melihat wajah ibu dan aku tidak pernah melihatnya kerana kebutaanku. Aku hanya menyentuh pipinya yang licin dan lenbut dan lebih lembutnya kasih-sayangnya terhadap kami semua.Di saat itu aku tidak menahan rasa sebak air mataku akhir tumpah juga mengiringi pemergiannya. Di saat aku menulis coretan ini aku juga tidak dapat menahan air mata dari tumpah mengenangkan peristiwa itu. Selepas jenazah ibu pun disembahyangkan di rumah. Alhamdulillah aku juga turut serta menyembahyangkan jenazah ibuku. Aku dan keluarga pun kemudian mengiringi jenazah ibu untu dikebumikan. Selepas selesai urusan pengkebumian, kami punpulang ke rumah tanpa ibu lagi. Semoga roh dan jasad ibu sentiasa selamat dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Amin.

Mengenangkan kisah ibu sewaktu hidup, membuatkan aku sebak. Pemergian ibu membuatkan aku merasa terlalu kehilangan. Tapi aku redha dan tenang menghadapi semua ini. Ibuku memang insan yang paling rapat dengan diriku. Ibulah tempat aku meluahkan perasaan dan berbual-bual ketika aku pulang bercuti semasa cuti persekolahan dan universiti.Kalau aku inginkan sesuatu, aku akan memintanya dari ibuku. Aku agak segan dengan ayah dan kami jarang berbual. Entahlah aku pun tak tahu mengapa. Tapi kalau dengan ibu aku tidak segan. Itulah kehebatan seorang ibu. Sejak kematiannya, aku mula tidak berminat untuk pulang ke kampung. Aku rasa tidak bersemangat dan rasa malas hendak pulang kampung. Berbeza ketika ibu masih ada dulu. Mungkin bukan aku seorang sahaja yang merasakan begitu.

Sebenarnya aku telah berpisah dengan ibu sejak umur 6 tahun lagi ketika aku dihantar ke Sekolah Princess Elizabeth di Johor Bahru. Aku hanya pulang sewaktu cuti penggal sahaja.Begitulah seterusnya di sekolah menengah dan universiti. Aku lebih banyak di luar negeri berbanding di kampung halamanku. Jadi, sewaktu pulang ke kampung ibu selalu memasakkan masakan yang istimewa untukku. Daging ayam merupakan lauk yang istimewa bgi ibu untuk dihidangkan kep;adaku. Ibu juga selalu menghidangkan buah-buahan dan kuih-muih untukku. Pendek kata, bila aku balik kampung, perut aku sentiasa diisi dengan makanan yang dihidangkan kepadaku. Malah ibu sanggup membawa makanan tersebut di tempat tidurku dan mengharapkan aku menghabiskan semua makanan tersebut. Sebelum aku pulang semula ke tempat pengajianku, ibukulah yang membelikan itu dan ini demi memenuhi keperluan dan pemintaan biar pun kadang-kadang dia terpaksa bdrhutang dengan orang lain keranaku. Itulah pengorbanan seorang ibu. Begitulah dengan ibu, segala kepenatan dan kelelahan dan kerenah adik-beradik diceritakan kepadaku. Sewaktu aku demam, tangan kasar ibulah yang memandikan dan membasahkan kepalaku. Demi mencari nafkah dan membantu ayah, ibuku jugalah yang menoreh pokok getah dan bersawah padi untuk menanggung kami anak-beranak. Demi mencari nafkah, ayah dan ibu sanggup merantau ke sebuah tanah bukit di kuala Krai dengann menaiki bot untuk menoreh disana. Kami sering ditinggalkan demi mencari rezzeki untuk kami biar pun ia penat dan meletihkan.

Ujian ibu yang paling besar ialah melahirkan 4 orang anak yang cacat penglihatan iaitu seorang kakak, seorang abang diriku dan seorang adik lelakiku. Kami mempunyai 11 adik-beradik dan 5 daripadanya telah pun meninggal dunia sejak mereka masih kecil lagi kecuali abangku yang telah meninggal ketika berumur 26 tahun. Kini tinggallah kami enam orang adik-beradik bersama ayah meneruskan hidup di dunia ini. Baru-baru ini ayah pun telah berkahwin semula dan kami mendapat ibu tiri. Tapi kami tak kisah ayah berkahwin demi kebaikan dirinya. Biarlah ada orang yang menemaninya dan menjaga kebajikannya lantaran aku tak mampu menjalankan tanggung-jawab itu. Lagi pun, ibu tiriku tu memang baik. Mudah-mudahan ayah hidup bahagia bersama ibu tiriku. Amin.

Kesabaran dan ketabahan ibu melahirkan 4 orang anak cacat penglihatan dan kehilangan 4 orang anak yang dikasihi ketika kecil dan seorang lagi setelah dewasa mudah-mudahan Allah menggantikannya dengan syurga.

Abangku yang telah meninggal dunia ketika berumur 26 tahun merupakan permata yang tidak ternilai dalam keluarga kami. Dia seorang yang bijak dan seorang yang telah menghafaz Al-quran. Dia juga buta seperti diriku. Dia juga telah menamatkan pengajian di Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial kepujian Kelas Pertama.Pada masa yang sama dia telah menghafaz Al-quran dalam masa 7 bulan setengah sewaktu pengajiannya di Universiti Malaya. Kemudian dia melanjutkan pengajiannya di Pusat Islam. Namun begitu, dia telah mula menghadapi kesakitan di bahagian tulang belakang akibat terjatuh di dalam sebuah longkang yang akhirnya secara perlahan-lahan menjejaskan tulang belakang. Tapi aku dengar ada sebab-sebab lain lagi yang menyebabkan dia mengalami kecederaan tulang belakang. Entahlah. Sewaktu dia menyertai pertandingan menghafaz Al-quran di Kuantan Pahang, dia terpaksa dimasukkan ke hospital dan dia telah lumpuh dari pingang hingga ke kaki. Ibu dan ayah membawanya pulang untuk mendapatkan rawatan secara tradisional dengan kehendak abangku sendiri. Sejak hari itu, abangku telah lumpuh dan ibu dan ayahlah yang menjaga dan menguruskan diri abangku. Ibu dan ayahlah yang memandikkannya, mewudhukkan dan lain-lain tanpa rasa jemu dan bosan. Namun, istimewanya bangku ini walau pun dia sakit dan terlantar, dia tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa membaca ayat suci Al-quran yang dihafaznya. Dia tidak mahu mendapat rawatan di hospital pun kerana dia kata susah hendak solat. Tuhan lebih sayangkan dirinya. Akhirnya suatu pagi hari ahad 24 Februari 1991, dia telah pergi meningalkan kami semua. Saat itu, aku terdengar abangku memanggil ibuku dalam keadaan yang tercungap-cungap. Selepas itu, datukku membacakan Surah Yasin untuknya. Pada waktu hujan mula turun sederhana lebat dan aku merasakan ada sesuatu yang akan berlaku kepada bangku. Akhirnya dia telah kembali ke rahmatullah ketika sedang membaca ayat suci Al-quran. Setelah selesai pengkebumiannya, ramai orang yang bercerita tentang abangku.Antaranya ialah:

Ramai orang yang hadhir mengatakan mereka nampak jasad abangku bercahaya dan sewaktu pengkebumiannya kuburnya kering kontang. Ini kerana di kawasan perkuburan itu selalunya terdapat banyak air. Tetapi kubur abangku kering kontang.

Abangku adalah seorang penghafaz Al-Quran. Jadi dia boleh menshafaatkan 10 orang ahli keluarganya. Itulah keistimewaannya. Itulah permata yang tidak ternilai yang Allah kurniakan kepada ibu, ayah dan kami semua. Ibu pernah menceritakan tentang kisah abangku sewaktu dia hendak dihantar bersekolah di Johor Bahru. Ramai yang menentang abangku dihantar ke sekolah. Mereka menganggap ibu dan ayah tidak sayangkan anak sehingga sanggup menghantarnya ke sana. Tapi ibu dan ayah tetap berdegil dan menghantarnya ke sekolah tersebut. Bayangkanlah kalau ibu dan ayah akur dengan orang kampung, dapatkan aku, abangku dan adikku berjaya seperti sekarang ini? Itulah pengorbanan mereka merelakan perpisahan dengan anak yang masih kecil demi kejayaan dan kebahagiaan kami.

Ibu juga pernah menceritakan bahawa dia bermimpi bahawa Arwah abangku pulang ke rumah dengan memakai jubah yang sangat cantik dan matanya telah celik dan ibu berpesan agar aku menjadi mencontohi abangku. Ibu sering berpesan agar aku tidak meninggalkan solat. Dia juga sering berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh sehingga ke universiti. Hasilnya pada Ogos 1999, dia sempat menyaksikan kejayaanku mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Kepujian Kelas Pertama di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya dengan ditemani oleh ayah dan adik-beradikku.

Itulah coretan peristiwa pemergian ibu dan abang yang dikasihi yang aku ingin paparkan kepada kepada kalian sebagai iktibar kepada diriku dan kalian. Hargailah jasa dan pengorbanan ibu kita. Berbaktilah kepadanya selagi dia masih ada bersama kita. Kini, aku hanya mampu mengiringi pemergian ibu dengan doa sahaja. Semoga dia mendapat syurga yang paling tinggi sekali. Amin.

No comments:

Post a Comment