Friday, March 26, 2010

puisi untuk sahabat

Puisi untuk sahabat.

Sahabatku,
Lihatlah wajahku yang sentiasa mengharap kasih-sayangmu,
Yang sentiasa mengharapkan keprihatinanmu,
Aku lelah sahabatku,
Merentasi onak dan duri kehidupan,
Yang sentiasa menyocok dan menyiat dagingku.

Sahabatku,
Namun, aku pasrah dengan setiap ujian,
Yang ditimpa kepadaku,
Demi rahmat dan kasih sayang tuhan yang maha agung.

Sahabatku,
Meski pun aku tidak pernah melihat wajahmu,
Tidak pernah menatap senyuman dan kebencianmu kepadaku,
Tidak pernah menatap keceriaan dan kekusaman wajahmu,
Namun, aku tetap menyayangimu
Dan mengenang jasa dan ketulusanmu.

Sahabatku,
Terimalah aku seadanya,
Jangan engkau memandang hina kepadaku,
Mendiskriminasiku,
Menyisihkanku dari kamus kehidupanmu.

Sahabatku,
Ingatkah kau tentang satu surah dari Al-quran,
iaitu Surah Al-abas,
Kerana Rasulullah didatangi oleh seorang buta,
Lalu Rasulullah berpaling,
Lalu Allah menurunkan surah itu,
Sebagai tanda kasihnya kepada kami,
Agar umat Muhammad melayani kami sebaiknya.

Kerana kami juga sepertimu,
Ingin menjalani kehidupan di atas jalan yang lurus,
Juga diredhai Allah.

Sahabatku,
Mahukah kalian menjadi sepertiku,
Dan aku menjadi kamu,
Untuk seketika Cuma,
Agar kau merasai apa yang aku rasai?

Sudah tentu kau tidak akan sanggup,
Kerana bagimu itu satu kesusahan dan kepayahan
Kehinaan dan kelemahan,
Kelelahan dan kepahitan.
Kesedihan dan kesengsaraan.

Sahabatku,
Kau sering bersimpati kepadaku,
Tapi mengapa kau sanggup membiarkan aku,
Tersungkur sendirian dimamah besi dan batu,
Lemas sendirian di lubang-lubang kotor,
Terpinggir di hutan batu yang ramai penghuninya,
Mentertawakanku teraba-raba dijalanan,
Menyisihkanku ketika aku memerlukanmu.

Sahabatku,
Bukan aku menyesali kehidupanku,
Aku ingin kau mengerti,
Kelelahan dan kepayahanku,
Memahami penderitaanku,
Lalu kau hulurkan tanganmu,
Ketika aku memerlukanmu.

Sahabatku,
Tidakkah kau sedari,
Akan nikmat tuhan kepadamu,
Pancaindera yang indah itu,
Janganlah kau lupakanku disini,
Hulurkanlah keprihatinan dan kasih sayangmu kepadaku,
Demi mensyukuri nikmat itu.

Sahabatku,
Terimakasih atas pengorbananmu,
Andainya kau pernah memimpin tanganku,
Andainya kau pernah membantuku,
Andainya kau pernah menangis bersamaku,
Andainya kau pernah terluka keranaku,
Ketahuilah aku tidak pernah melupakanmu.

Sahabatku,
Aku akan terus melangkah,
Bangkit dari kelelahan dan kepayahan,
Menongkah arus kehidupan,
Dengan segenap kudratku,
Biar pun tanpa cahaya yang menerangi,
Tiada payung yang melindungi,
Dari hujan dan panas matahari,
Walau tiada siapa yang memerhati,
Cukuplah Allah sebagai penolong hambamu ini.

Sahabatku,
aku akan terus maju dan maju,
Memburu impian dan kejayaan,
Tanpa rasa jemu dan putus asa,
Membuang lumpur dan duri yang menyakitkanku,
Aku akan sentiasa bersyukur dengan rahmat tuhan,
Melangkah dengan penuh yakin dan pengharapan positif,
Biar pun sekali-sekala tersesat dan terjatuh,
Akanku bangkit dan mencari arah kembali,
Dengan tongkat keimanan dan kesabaran,
Dengan nikmat dan kurniaan Allah,
Kerana aku sedar wahai sahabatku,
Kita adalah juara,
Dan aku takkan pernah melupakanmu wahai sahabatku,
Di setiap doaku.

3 comments: