Friday, August 20, 2010

Malam Warga Istimewa 2010



Pada 4 Ogos 2010 aku dan isteri tersayang telah menghadiri Majlis Malam Warga Istimewa yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya anjuran Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya( PERMIUM). Program ini bermula jam 9 malam yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr Azraie Haji Idris iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni Universiti Malaya. Program tersebut juga telah diserikan dengan kehadiran mahasiswa OKU dari Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia.Program itu juga telah dihadiri oleh ramai rakan mahasiswa Universiti Malaya yang tidak OKU. Paling mengharukan saya ialah kehadiran Datuk TNC HEP sehingga ke akhir program menunjukkan beliau amat berkomitmen dalam membantu dan menyokong mahasiswa OKU di Universiti Malaya sejak dahulu lagi iaitu ketika beliau menjadi pengetua kolej Za’ba pada tahun 1995.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan yang tidak terhingga kepada warga PERMIUM dan para sukarelawan kerana telah berjaya menganjurkan sebuah program yang sangat hebat dan menarik.Tahniah kepada pengarah program Saudari Atika Dalil, Saudara Norbaidillah, Presiden PERMIUM dan semua AJK serta sukarelawan PERMIUM yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut. Mudah-mudahan usaha kalian untuk memasyarakatkan PERMIUM khasnya membuahkan hasil yang sangat positif kini dan masa akan datang.
Pengisian program juga amat menarik iaitu forum tiga serangkaiyang melibatkan:
1. Dr. Wong Huey Siew (pensyarah OKU Penglihatan)dari Universiti Terbuka Malaysia.
2. Puan Hamidah Hassan (Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat OKU Fizikal).
3. Norli Anida (sukarelawan yang pernah menjadi pembaca sukarela dari Universi Malaya).
Ia dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada mahasiswa OKU dan tidak OKU tentang realiti kehidupan kampus dan alam kerjaya yang sedang dan bakal dihadapi oleh mereka. Ia juga dapat memotivasikan golongan ini untuk menjadi lebih tabah, gigih, berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Saya juga telah diberi kesempatan untuk mendeklamasikan sebuah puisi nukilan saya sendiri iaitu “puisi untuk sahabat” yang telah dipaparkan dalam blog ini beberapa bulan yang lalu. Begitu nyanyian dari Saudara Faiq yang sungguh merdu juga menggambarkan Mahasiswa OKU memiliki bakat seni yang tinggi. Tayangan vedio tentang perit jerih kehidupan mahasiswa OKU di UM juga dapat menyedarkan, memotivasikan dan menginsafkan mahasiswa yang tidak OKU.

Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Selain dari memberi kesedaran dan memasyrakatkan PERMIUM kepada mahasiswa OKU yang tidak OKU, ia juga dapat memberi peluang kepada Mahasiswa OKU melatih diri dalam aspek kemahiran sosial dan berorganisasi yang dapat dimanfaatkan sewaktu memohon pekerjaan nanti.

Seingat saya program seumpama ini telah beberapa kali diadakan oleh PERMIUM sejak penubuhannya lagi. Pada tahun 20011, program yang sama telah diadakan yang mana saya sendiri menjadi pengarah program yang dipanggil “seminar bersama mahasiswa istimewa”sempena pesta konvokesyen di auditorium yang sama. Program tersebut telah diadakan selama dua hari di mana pengisiannya adalah terdiri dari:
1. Pameran dari pelbagai NGO OKU.
2. Pertandingan seperti melukis dan membaca Braille.
3. Seminar dan forum dari badan kerjaan dan NGO tentang isu yang berkaitan OKU secara keseluruhan.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Profesor Datuk Dr Hashim Yaacob iaitu Mantan Naib Canselor UM pada masa itu. Seminar tersebut telah juga dihadiri oleh NGO OKU di sekitar Kuala Lumpur. Namun begitu, sambutan dari mahasiswa UM sendiri agak hambar.

Begitu juga pada tahun 2005 program Hawaris telah diadakan yang mana saya berkesempatan menghadiri majlis perasmiannya sahaja kerana agak sibuk dengan urusan yang lain. Justeru, penganjuran Mawaris baru-baru ini adalah amat efektif sekali kerana ia telah dihadiri oleh ramai mahasiswa OKU yang tidak cacat membolehkan mesej sampai kepada golongan sasaran. Oleh yang demikian, sayugia saya mencadangkan bahawa program seperti ini dijadikan program wajib PERMIUM pada setiap tahun.

No comments:

Post a Comment