Friday, March 11, 2011

BENARKAH MASYARAKAT KITA PERIHATIN????




Benarkah masyarakat kita ni prihatin?

Hai apa khabar para pembaca sekalian, adakah anda semua sihat? Terima kasihlah kerana masih sudi mengunjungi blog saya ni biar pun jarang-jarang “update”.. Pada hari ini saya ingin mengajak anda untuk membaca sebuah artikel tulisan saya tentang pandangan masyarakat terhadap golongan buta berdasarkan pengalaman saya sepanjang kehidupan. Penulisan ini bukanlah bertujuan mengkritik mana-mana pihak atau menyalahkan pihak tertentu. Tetapi ia sekadar untuk berkongsi pengalaman terhadap isu yang dipaparkan.

Saya sering mengggunakan pengangkutan LRT setiap kali hendak pergi ke Universiti Malaya. Setelah turun di Stesen Universiti, saya akan mengambil bas untuk ke UM. Setiap pagi saya dan isteri akan menggunakan pengangkutan LRT untuk ke tempat kerja dan belajar. Berdasarkan kajian dan pengalaman saya, apabila saya mengira berapa kali saya dapat duduk dalam LRT setiap kali saya berulang-alih dari rumah ke tempat belajar dan kerja, saya dapati saya lebih banyak kali berdiri daripada duduk dalam LRT terutamanya sewaktu hendak pergi ke UM. Sementara itu, isteri saya pula sudah tentulah lebih sukar untuk mendapatkan tempat duduk dalam LRT kerana dia tidak OKU seperti saya. Tetapi setelah 7 bulan isteri saya mengandung dan sejak beberapa bulan ini perutnya semakin besar kerana sarat dengan bayi yang akan dilahirkan bulan April ini .Jadi dia dikategorikan sebagai orang yang layak untuk mendapat tempat duduk dalam LRT seperti mana yang tertulis di dalam LRT di mana tempat duduk yang dikhaskan untuk OKU, orang tua dan ibu mengandung.

Bila saya naik LRT bersama isteri saya, saya lebih mudah mendapat tempat duduk berbanding dengan isteri saya. Situasi ini membuatkan saya berasa serba salah. Mungkinkah para penumpang lebih bersimpati kepada saya yang OKU Penglihatan berbanding dengan perempuan yang mengandung? Adakah mereka menganggap bahawa OKU ini lebih lemah dan patut dikasihani dari perempuan yang mengandung? Dari segi logiknya, perempuan yang mengandung ini lebih memerlukan tempat duduk atas sebab kesihatan berbanding dengan OKU kerana walau pun kita OKU, kita masih sihat dan kuat dari segi fizikal yang lain. Itulah persoalan yang sering bermain di minda saya.

Namun begitu, saya sering juga berdiri dalam LRT kerana tidak diberi tempat duduk. Bukan saya kisah sangat sebab tak dapat tempat duduk, tetapi kadang-kadang saya berasa kecewa dengan sikap sesetengah penumpang yang duduk di tempat yang dikhaskan untuk OKU yang tidak memberikan tempat itu kepada orang yang berhak. Isteri saya pernah menceritakan bahawa apabila saya berdiri di hadapan tempat duduk dalam LRT, ada juga yang buat-buat tidur. Buat-buat tak nampak sedangkan sebelum itu ada di antara penumpang tersebut yang sedang membaca buku dan sebagainya. Bila nampak saya dan isteri saya naik, mereka sengaja buat-buat tidur. Apabila ada orang lain dah beri tempat duduk pada saya/isteri yang mengandung tu, mereka dah tak tidur lagi. Pandai betul mereka berlakon. Gelap betul hati mereka. Mereka buat-buat tidur. Kalau perempuan mungkin boleh dimaafkan, tetapi lelaki. Begitu juga dengan apa yang dialami oleh isteri saya, langsung tidak diberikan tempat duduk oleh penumpang. Mereka juga buat-buat tidur. Menurut pengalaman saya dakan rakan-rakan lain yang OKU Penglihatan, , walau pun mendapat tempat duduk, kebanyakannya diberikan oleh kaum wanita atau orang tua. Malah, rakan saya pernah menceritakan sewaktu dia berada di dalam LRT, ada sepasang kekasih yang sedang duduk berasmaradana, walaupun mereka melihat seorang OKU berdiri di hadapannya. Manakala penumpang lelaki kebanyakan buat tak tahu sahaja. Kadang-kadang walau pun ada tempat kosong, tidak ada seorang pun penumpang yang memberitahu atau memimpin saya ke tampat duduk dan mereka sanggup membiarkan saya berdiri sehingga ke destinasi. Situasi ini menunjukkan bahawa tidak ramai orang awam yang prihatin dengan golongan OKU apatah lagi bangsa Melayu. Berdasarkan pengalman saya dan rakan-rakan yang OKU Penglihatan, pertolongan yang kami perolehi kerap kali datangnya dari orang bukan melayu. Apa dah jadi dengan orang Melayu. Kenapa mereka sukar untuk membantu? Adakah mereka tidak prihatin? Bukan nak mengkritik bangsa sendiri tetapi itulah hakikatnya? Walau pun mereka ini beragama islam dan percaya bahawa buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa, tetapi mereka lebih liat untuk menghulurkan bantuan berbanding bangsa lain. Tetapi yang pastinya, orang melayu lebih suka menderma duit berbanding tenaga kepada golongan OKU. Itulah realiti kehidupan yang saya alami dan pengalaman rakan OKU penglihatan yang lain. Kalau tak percaya buatlah kajian.

Agaknya mereka juga kita boleh pangil OKU juga iaitu OKU hati dan moral. Kalau orang tu dah gelap hatinya, menurut guru saya, samalah seperti binatang. Bila hati kita gelap, iman dah berkurangan atau dah tidak ada. Jadi di sisi Allah, seseorang itu dah tiada nilainya. Begitulah penjelasan guru saya tu. Jadi kesimpulannya, orang yang OKU hati ini samalah seperti binatang juga. Sebab tulah dia orang ni hilang sikap prihatin terhadap orang lain dan pentingkan diri sendiri sahaja, tak pandai nak bersyukur dengan nikmat celik dan tidak cacat yang Allah kurniakan kepada dia. Kita sering diuar-uarkan dengan bangsa Melayu ni lembut hati, berbudi bahasa dan baik hati. Tapi realitinya tak sebagaimana yang diuar-uarkan. Kita sering mengutuk orang Barat yang dianggap sudah rosak akhlaknya. Kita tuduh orang Barat bawa budaya tak baik di negara kita. Tapi kita lupa bahawa orang Barat tu lebih hormat dan prihatin kepada golongan OKU berbanding dengan orang kita. Kalau kita ni betul-betul bagus. Kenapa kita gelap hati sehingga kebaikan yang sedikit pun tak mampu kita lakukan. Fikirkanlah.

Ini baru satu isu iaitu berkaitan dengan pengangkutan LRT. Belum lagi dengan isu lain yang menunjukkan bahawa tidak ramai orang celik yang prihatin dengan OKU Penglihatan sebenarnya terutama bangsa Melayu yang beragama Islam. Maaflah kalau ada yang tersinggung. Ini sekadar berkongsi pengalaman dan luahan perasaan sahaja. Harap-harapnya ianya akan mengubah persepsi masyrakat kita. Jadilah orang yang prihatin. Tak rugi pun. Setiap perbuatan yang baik tu akan dapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Kita tidak mampu meramal masa hadapan,Kita tidak boleh memberi jaminan bahawa kita akan sentiasa celik sepanjang hidup kita. Mungkin anda akan menerima nasib seperti kami. Siapa tahu. Justeru, tunjukkanlah keprihatinan anda kepada kami. Jutaan terimakasih diucapkan kepada insan yang selama ini yang tidak pernah jemu-jemu membantu OKU Penglihatan. Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran yang besar kepada anda