Friday, April 8, 2011

Benarkah Masyarakat Kita Prihatin?..Siri Kedua

Benarkah masyarakat kita ni prihatin???

Asslamualaikum para pembaca apa khabar semuanya? Harap semua rakan-rakan berada dalam keadaan baik hendaknya. Semoga kalian semua sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah sepanjang hayat. Hari ini saya ingin paparkan kepada anda tentang isu yang lebih kurang sama sebagaimana yang telah saya paparkan di dalam blog yang lalu. Ia bukan bertujuan mengkritik sesiapa tetapi untuk peringatan dan pengajaran kita bersama. Isu yang diutarakan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang yang celik tentang keperluan golongan OKU Penglihatan yang selama ini telah diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh mereka. Namun, ini tidak bermakna saya mengatakan semua orang celik itu tak baik/tidak bermoral. Ramai yang baik dan prihatin tetapi masih ramai lagi yang tidak prihatin terutamanya orang Islam/Melayu. Saya percaya bahawa setiap isu yang akan saya paparkan ini bukan sahaja dialami oleh saya seorang sahaja selaku orang yang OKU Penglihatan tetapi juga oleh rakan senasib yang lain. Tambahan pula, dengan menulis isu-isu seumpama ini diharap akan menyedarkan masyarakat agar lebih prihatin kepada golongan OKU Penglihatan.

Saya masih teringat dengan satu peristiwa yang berlaku di Universiti Malaya. Ketika itu saya berada di tahun ketiga. Pada malam tersebut saya mengajak salah seorang rakan saya untuk makan malam di Kedai Sahur di Kolej Kediaman Ketiga. Kami sebenarnya sering ke kedai Sahur pada waktu malam untuk mengisi perut lebih kurang jam 9 hingga 10 malam. Tambahan pula, makanan di situ sedap dan harganya berpatutan. Lagi pun Abang Sahur pernah berkata: “hang jangan bimbang, selagi engkau belajar di sini air aku bagi free.” Justeru, kami sering minum air yang mahal seperti air buah-buahan. Maklumlah free.. hahaha. Pernah sekali Abang Sahur memarahi aku dan rakan-rakan lain kerana meminum air suam sahaja. Semoga Allah membalas kebaikan abang Sahur.

Kembali kepada cerita tadi. Sewaktu aku dan Mohd Nor sedang memanjat bukit di Kolej Kediaman Ketiga untuk pergi ke kedai Sahur, Aku telah didatangi oleh seorang pelajar UM dan bertanyakan sesuatu.

“Pakcik nak pergi ke mana?”
Aku secara spontan berkata:
“Nak tengok anak kat sini.”
Tapi Mohd Nor menyangah kata-kataku.
Dia berkata:
“kau jangan bohonglah”
Aku hanya mampu tergelak sahaja. Begitu juga dengan pelajar tersebut. Dia pun tergelak sambil meninggalkan aku dan Mohd Nor.Mungkin dia sedar bahawa aku memerlinya kerana memanggil aku dan Mohd Nor pakcik.

Lalu aku bertanya kepada Mohd Nor:
“kenapa kau kata aku bohong”
Dia menjawab:
“aku ingat kau kata aku anak kau. Jadi aku katalah bohong. Lagi pun tak logik sebab kau ni masih muda lagi takkan dah ada anak.”

“sebenarnya aku sengaja je nak kenakan budak tu sebab dia panggil kita pakcik. Tak logiklah sebab kita ni masih muda lagi sebaya dengan dia. Takkan dia panggil kita pakcik takkan dia tak nampak muka kita yang masih muda ni.Namanya belajar kat UM tapi tak tahu nak hormat kita. Panggilah abang ke sedaplah sikit. Ini pakcik. Nasib baik dia lelaki. Kalau perempuan jatuhlah saham aku.”

Itulah satu contoh gelagat masyarakat terhadap OKU. Sebenarnya gelaran “pakcik” terhadap saya dan OKU penglihatan yang lain adalah perkara biasa dan sering berlaku walau pun orang yang memanggil “pakcik” adalah lebih tua dari saya atau sebaya. Mungkin agaknya kita berjalan menggunakan tongkat mereka panggil kita pakcik. Keadaan ini mengambarkan bahawa sikap segelintir masyarakat yang mempunyai kelemahan berkomunikasi sehingga tidak tahu membezakan umur seseorang dan memanggil OKU Penglihatan pakcik. Kalau jarak umur jauh lebih tua dari dia tak apalah. Tetapi masalahnya mereka adalah lebih tua atau sebaya dengan kita. Mungkin juga mereka segan nak gunakan panggilan “abang” lalu memanggil kita “pakcik”. Kalau kita tak tahu status umur panggillah sahaja “Encik atau Cik” itu kan lebih baik.

Satu perkara lagi kalau nak pimpin orang buta tu janganlah pegang tongkat. Itu kurang ajar namanya. Apabila tongkat orang buta itu dipegang, ia akan menimbulkan rasa tidak selesa dan menyebabkan kesukaran kita untuk mengesan halangan atau arah pergerakan semasa berjalan. Lebih menyedihkan lagi berdasarkan pengalaman saya, ada yang memegang hujung tongkat dan mengangkatnya tinggi-tinggi seolah menarik binatang ternakan. Malah pernah seorang lelaki yang telah memegang hujung tongkat saya dan meletakkan hujung tongkat tersebut diatas bahunya. Saya terus memarahi lelaki tersebut dan menarik tongkat tersebut. Geram betul hati saya ketika itu. Tapi saya berusaha untuk bersabar dan saya nyatakan pada lelaki tersebut yang saya tidak memerlukan pertolongannya.

Sebenarnya memegang tongkat untuk membantu bukanlah cara yang tepat. Memegang tongkat ini biasanya dilakukan oleh orang perempuan yang ingin membantu. Alasannya segan nak pegang tangan, haram pegang tangan. Selain memegang tongkat, ada juga yang memegang hujung baju, memegang beg dan tak kurang juga yang menggunakan “remote control”. “Remote control” ialah memberi arahan secara lisan sahaja tentang arah yang ingin dituju. Misalnya “kanan sikit, kiri, straight dan lain-lain”. Kadang-kadang tunjuk arah yang diberikan adalah bertentangan dengan kedudukan OKU Penglihatan. Misalnya kanan bagi dia, tetapi kiri bagi OKU Penglihatan tersebut. Senario ini akan menimbulkan kemarahan OKU Penglihatan kerana dia akan merasakan seolah-olah dipermainkan.

Ada juga orang celik yang ingin membantu itu terus sahaja memimpin kita tanpa sebarang pertanyaan atau komunikasi. Keadaan ini menyebabkan OKU Penglihatan merasa kurang selesa. Tapi sebagai orang yang memerlukan bantuan, ada kalanya saya terpaksa mendiamkan diri sahajalah dengan apa yang telah mereka lakukan. Kadang-kadang serba salah saya nak tegur mereka kerana takut mereka terasa hati dan tidak ingin lagi membantu OKU Penglihatan. Jadi nak taknak terpaksa bersabar atau redha sahajalah dengan apa yang berlaku. Jadi nasihat saya kepada orang yang celik kalau nak membantu/atau memimpin OKU Penglihatan bersuaralah terlebih dahulu dan tanya sama ada mereka memerlukan pertolongan atau bertanyakan bagaimanakah cara yang betul untuk membantu kalau tak tahu caranya. Kalau nak pimpin OKU Penglihatan tu elakkanlah dari memegang tongkat. Kalau malu dan segan peganglah tangan ke, beg ke, asalkan jangan pegang tongkat. Itu lebih baik. Kalau pegang tangan tu haram, peganglah bahagian tangan yang berlapik dengan pakaian OKU Penglihatan tersebut. Kalau nak beri arahan tunjuk arah, berilah arahan mengikut kedudukan OKU Penglihatan.