Friday, March 26, 2010

puisi untuk sahabat

Puisi untuk sahabat.

Sahabatku,
Lihatlah wajahku yang sentiasa mengharap kasih-sayangmu,
Yang sentiasa mengharapkan keprihatinanmu,
Aku lelah sahabatku,
Merentasi onak dan duri kehidupan,
Yang sentiasa menyocok dan menyiat dagingku.

Sahabatku,
Namun, aku pasrah dengan setiap ujian,
Yang ditimpa kepadaku,
Demi rahmat dan kasih sayang tuhan yang maha agung.

Sahabatku,
Meski pun aku tidak pernah melihat wajahmu,
Tidak pernah menatap senyuman dan kebencianmu kepadaku,
Tidak pernah menatap keceriaan dan kekusaman wajahmu,
Namun, aku tetap menyayangimu
Dan mengenang jasa dan ketulusanmu.

Sahabatku,
Terimalah aku seadanya,
Jangan engkau memandang hina kepadaku,
Mendiskriminasiku,
Menyisihkanku dari kamus kehidupanmu.

Sahabatku,
Ingatkah kau tentang satu surah dari Al-quran,
iaitu Surah Al-abas,
Kerana Rasulullah didatangi oleh seorang buta,
Lalu Rasulullah berpaling,
Lalu Allah menurunkan surah itu,
Sebagai tanda kasihnya kepada kami,
Agar umat Muhammad melayani kami sebaiknya.

Kerana kami juga sepertimu,
Ingin menjalani kehidupan di atas jalan yang lurus,
Juga diredhai Allah.

Sahabatku,
Mahukah kalian menjadi sepertiku,
Dan aku menjadi kamu,
Untuk seketika Cuma,
Agar kau merasai apa yang aku rasai?

Sudah tentu kau tidak akan sanggup,
Kerana bagimu itu satu kesusahan dan kepayahan
Kehinaan dan kelemahan,
Kelelahan dan kepahitan.
Kesedihan dan kesengsaraan.

Sahabatku,
Kau sering bersimpati kepadaku,
Tapi mengapa kau sanggup membiarkan aku,
Tersungkur sendirian dimamah besi dan batu,
Lemas sendirian di lubang-lubang kotor,
Terpinggir di hutan batu yang ramai penghuninya,
Mentertawakanku teraba-raba dijalanan,
Menyisihkanku ketika aku memerlukanmu.

Sahabatku,
Bukan aku menyesali kehidupanku,
Aku ingin kau mengerti,
Kelelahan dan kepayahanku,
Memahami penderitaanku,
Lalu kau hulurkan tanganmu,
Ketika aku memerlukanmu.

Sahabatku,
Tidakkah kau sedari,
Akan nikmat tuhan kepadamu,
Pancaindera yang indah itu,
Janganlah kau lupakanku disini,
Hulurkanlah keprihatinan dan kasih sayangmu kepadaku,
Demi mensyukuri nikmat itu.

Sahabatku,
Terimakasih atas pengorbananmu,
Andainya kau pernah memimpin tanganku,
Andainya kau pernah membantuku,
Andainya kau pernah menangis bersamaku,
Andainya kau pernah terluka keranaku,
Ketahuilah aku tidak pernah melupakanmu.

Sahabatku,
Aku akan terus melangkah,
Bangkit dari kelelahan dan kepayahan,
Menongkah arus kehidupan,
Dengan segenap kudratku,
Biar pun tanpa cahaya yang menerangi,
Tiada payung yang melindungi,
Dari hujan dan panas matahari,
Walau tiada siapa yang memerhati,
Cukuplah Allah sebagai penolong hambamu ini.

Sahabatku,
aku akan terus maju dan maju,
Memburu impian dan kejayaan,
Tanpa rasa jemu dan putus asa,
Membuang lumpur dan duri yang menyakitkanku,
Aku akan sentiasa bersyukur dengan rahmat tuhan,
Melangkah dengan penuh yakin dan pengharapan positif,
Biar pun sekali-sekala tersesat dan terjatuh,
Akanku bangkit dan mencari arah kembali,
Dengan tongkat keimanan dan kesabaran,
Dengan nikmat dan kurniaan Allah,
Kerana aku sedar wahai sahabatku,
Kita adalah juara,
Dan aku takkan pernah melupakanmu wahai sahabatku,
Di setiap doaku.

Monday, March 22, 2010

ulasan buku

ULASAN BUKU: “SIAPA BERSAMA MEREKA”.

Buku ”Siapa Bersama Mereka” merupakan sebuah buku yang telah diterbitkan oleh National Counsil Of The Blind (NCBM) pada tahun 2006. Buku ini mengisahkan 24 orang buta yang telah berjaya dalam kehidupan dan memberi sumbangan yang besar kepada golongan senasib. Kisah kehidupan ini telah diolah dalam bentuk cerpen oleh beberapa orang penulis buta sendiri yang telah mencipta nama iaitu Mohd Ghazali Tocheh, Norhashimah Hashim dan Emi Suzani. Buku ini boleh diperolehi di NCBM dalam bentuk CD. Buku ini telah saya pinjam dari Perpustakaan Utama Universiti Malaya dan dibaca oleh beberapa para pembaca sukarela. Saya berpendapat buku ini patut dibaca oleh golongan buta kerana ia mengisahkan pengorbanan, liku-liku dan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Melalui kisah suka-duka, jerih-perit, latar belakang kehidupan, pengalaman pahit dan manis mereka memberikan kesedaran dan keinsafan kepada saya bahawa Allah itu maha pengasih dan penyayang kepada setiap hambanya. Allah menjadikan kita cacat pancaindera tapi Allah tidak cacat menjadikan hambanya walau pun ia mengalami kekurangan tertentu. Tetapi terlalu banyak nikmat telah dikurnikan kepada saya dan kita semua. Oleh yang demikian, kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan meski pun kita cacat penglihatan. Kejayaan yang telah dikecapi oleh 24 orang tokoh patut dicontohi dan menjadi “role model” kepada kita.

Ada diantara tokoh-tokoh tersebut yang tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini. Setelah membaca buku tersebut, barulah saya mengenali mereka. Ada juga antara tokoh-tokoh yang sering kita dengar tetapi kita tidak mengenali secara mendalam kisah kehidupannya. Oleh yang demikian, melalui buku ini saya dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam dan mengetahui perjalanan hidup mereka yang telah berjaya dalam pelbagai lapangan yang diceburi. Siapa sangka insan yang buta ini juga berupaya mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Ada yang menjalankan perniagaan penerbitan, penternakan ikan air tawar, pakar ekonomi, penanaman cendawan, membuat bakul rotan, terlibat dalam perniagaan urut dan lain-lain. Tidak kurang juga diantara mereka terlibat aktif dalam NGO yang berkaitan dengan OKU penglihatan.

Melalui pembacaan buku ini, saya juga dapat banyak maklumat tentang perkembangan pendidikan orang cacat penglihatan dari zaman Jepun dan British sehinggalah sekarang berdasarkan kisah perjalanan tokoh-tokoh. Begitu juga tentang sejarah Pusat latihan Gurney dan MAB yang telah banyak berjasa kepada orang cacat penglihatan di Malaysia. Begitu juga dengan sekolah rendah saya dulu iaitu Sekolah Puteri Elizabeth di Johor Bahru Johor dan ST. Nicholas yang juga telah menyumbangkan jasa yang tidak ternilai kepada pendidikan orang cacat penglihatan di Malaysia. Situasi mereka lebih sukar dari kita sekarang dari segi pendidikan. Tetapi mereka masih berupaya berjaya dalam pelajaran. Contohnya Profesor Datok Ismail Salleh yang telah menjadi orang cacat penglihatan pertama mendapat Phd dari sebuah universiti di US. Begitu juga Encik Peter Chin Peng Kong yang menjadi orang cacat penglihatan pertama mendapat ijazah Sarjana Muda di Australia dan menjadi guru. Kejayaan mereka menjadi motivasi kepada saya untuk lebih gigih dan berjaya pada masa hadapan.

Kisah kehidupan yang dipaparkan ini adalah dari golongan cacat penglihatan yang telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Ada diantara mereka ini yang telah pun kembali ke rahmatullah seperti Allah yarham Mohd Ghazali Tocheh juga merupakan antara penulis buku ini, Allah yarham Profesor Datok Ismail Salleh, Allah yarham S. Jibeng dan mendiang Katan pilai. Bak kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Jasa mereka amat besar kepada kita semua. Oleh yang demikian, bacalah buku ini untuk mengetahui kisah selanjutnya. Ia boleh merangsang dan meningkatkan motivasi kita untuk berjaya di masa hadapan.

Wednesday, March 10, 2010

PEMERGIAN IBU DAN ABANG YANG DIKASIHI

PEMERGIAN IBU DAN ABANG YANG DIKASIHI.
Satu peristiwa yang masih tetap segar dalam ingatanku ialah saat aku menerima berita ibu yang telah pulang ke rahmatullah. Ketika itu aku dan tiga orang rakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lipis Pahang kerana menghadiri ceramah dalam program “Jihad Ekonomi” bersama SuRECO iaitu sebuah syarikat jualan langsung bumiputera yang kini telah tersungkur. Dalam program tersebut aku juga tidak ketinggalan untuk memberi ceramah tentang “kenapa saya menyertai Sureco”. Ini kerana aku merupakan satu-satunya OKU penglihatan yang telah berjaya mendapat pangkat bintang delima dalam heirarki pangkat berdasarkan kejayaan dalam syarikat tersebut.

Lebih kurang jam 2 pagi, aku telah dihubungi oleh adikku yang menyampaikan berita kematian ibuku. Aku meminta adikku agar mengkebumikan ibu setelah aku dan adik-beradik yang lain sampai ke rumah. Aku begitu sedih kerana telah kehilangan ibu yang sangat aku kasihi. Namun, aku redha dan menerima berita tersebut dengan penuh kesabaran. Air mataku sedikit pun tidak mengalir. Memang sebelum ini pun ibuku sudah beberapa kali keluar masuk wad kerana penyakit darah tingginya. Dua minggu sebelumnya aku sempat bersama dengan ibuku kerana aku telah pulang ke kampung untuk bercuti sebelum memulakan semester baru di Universiti Malaya. Tak kusangka itulah pertemuan terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. ”Wahai ibuku semoga dikau mengampunkan semua dosaku terhadapmu dan halalkanlah segala makan minumku selama ini.”

Berita tersebut aku sampaikan kepada tiga rakan-rakanku yang berada dalam kereta tersebut. Mereka mengucapkan takziah kepadaku. Kereta yang kami naiki meluncur laju ke arah Kuala Lumpur. Ketika hendak sampai ke Bentung, tiba-tiba pemandu kereta tersebut memperlahankan kereta. Dia berkata:

”Eh, Haji cuba lihat di atas langit sana, ada awan yang membentuk Kalimah Allah.”

Aku terpinga-pinga. Aku bertanya dalam hati sendiri.

”Betulkah apa yang mereka lihat ni?” Hatiku bertanya sendiri.

”Betul ke Haji, Faiz kalimah Allah yang awak lihat tu?” Aku bertanya.

”Ya betul.” kata haji.

Faiz memberhentikan kereta dan mereka keluar untuk melihat dengan lebih jelas lagi. Ketiga-tiga rakanku dapat melihat dengan lebih jelas lagi dan ia menjadi semakin terang.

”Mungkin ini petanda bahawa ibu awak telah diredhai oleh Allah Ta’ala. Dan ini adalah penghibur kepada kesedihan awak.” Kata Haji.
Aku diam sahaja. Mungkin betul kati Haji tu. Kami pun meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Menurut kata Haji Lama juga dia nampak awan yang membentuik kalimah Allah tu sehingga ke bentung barulah ia hilang.

”Semoga ada petanda yang baik dari kejadian ini.” Aku berkata dalam hati.

Sampai di Medan Idaman, kami pun mengisi perut dengan nasi goreng. Kemudian mereka menghantarku pulan ke rumah untuk bersiap untuk pulang ke kampung di Pasir Mas Kelantan. Aku pulang bersama adikku dan isterinya dengan menaiki kereta. Begitu juga dengan adik bongsuku yang baru saja melanjutkan pelajarannya di UKM. Kami bertolak ke kampung pada jam 4 pagi dan sampai ke rumah jam 10 pagi.

Sesampainya di rumah aku terus duduk di hadapan jasad ibu yang terbujur kaku. Aku sempat membacakan Surah Yasin yang telah kuhafal sejak sekian lama. Selepas itu jasad ibu telah dimandikan. Selepas dimandikan dan dikafankan, kami adik-beradik diberi peluang untuk melihat wajah ibu buat kali terakhir. Aku tidak mampu untuk melihat wajah ibu dan aku tidak pernah melihatnya kerana kebutaanku. Aku hanya menyentuh pipinya yang licin dan lenbut dan lebih lembutnya kasih-sayangnya terhadap kami semua.Di saat itu aku tidak menahan rasa sebak air mataku akhir tumpah juga mengiringi pemergiannya. Di saat aku menulis coretan ini aku juga tidak dapat menahan air mata dari tumpah mengenangkan peristiwa itu. Selepas jenazah ibu pun disembahyangkan di rumah. Alhamdulillah aku juga turut serta menyembahyangkan jenazah ibuku. Aku dan keluarga pun kemudian mengiringi jenazah ibu untu dikebumikan. Selepas selesai urusan pengkebumian, kami punpulang ke rumah tanpa ibu lagi. Semoga roh dan jasad ibu sentiasa selamat dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Amin.

Mengenangkan kisah ibu sewaktu hidup, membuatkan aku sebak. Pemergian ibu membuatkan aku merasa terlalu kehilangan. Tapi aku redha dan tenang menghadapi semua ini. Ibuku memang insan yang paling rapat dengan diriku. Ibulah tempat aku meluahkan perasaan dan berbual-bual ketika aku pulang bercuti semasa cuti persekolahan dan universiti.Kalau aku inginkan sesuatu, aku akan memintanya dari ibuku. Aku agak segan dengan ayah dan kami jarang berbual. Entahlah aku pun tak tahu mengapa. Tapi kalau dengan ibu aku tidak segan. Itulah kehebatan seorang ibu. Sejak kematiannya, aku mula tidak berminat untuk pulang ke kampung. Aku rasa tidak bersemangat dan rasa malas hendak pulang kampung. Berbeza ketika ibu masih ada dulu. Mungkin bukan aku seorang sahaja yang merasakan begitu.

Sebenarnya aku telah berpisah dengan ibu sejak umur 6 tahun lagi ketika aku dihantar ke Sekolah Princess Elizabeth di Johor Bahru. Aku hanya pulang sewaktu cuti penggal sahaja.Begitulah seterusnya di sekolah menengah dan universiti. Aku lebih banyak di luar negeri berbanding di kampung halamanku. Jadi, sewaktu pulang ke kampung ibu selalu memasakkan masakan yang istimewa untukku. Daging ayam merupakan lauk yang istimewa bgi ibu untuk dihidangkan kep;adaku. Ibu juga selalu menghidangkan buah-buahan dan kuih-muih untukku. Pendek kata, bila aku balik kampung, perut aku sentiasa diisi dengan makanan yang dihidangkan kepadaku. Malah ibu sanggup membawa makanan tersebut di tempat tidurku dan mengharapkan aku menghabiskan semua makanan tersebut. Sebelum aku pulang semula ke tempat pengajianku, ibukulah yang membelikan itu dan ini demi memenuhi keperluan dan pemintaan biar pun kadang-kadang dia terpaksa bdrhutang dengan orang lain keranaku. Itulah pengorbanan seorang ibu. Begitulah dengan ibu, segala kepenatan dan kelelahan dan kerenah adik-beradik diceritakan kepadaku. Sewaktu aku demam, tangan kasar ibulah yang memandikan dan membasahkan kepalaku. Demi mencari nafkah dan membantu ayah, ibuku jugalah yang menoreh pokok getah dan bersawah padi untuk menanggung kami anak-beranak. Demi mencari nafkah, ayah dan ibu sanggup merantau ke sebuah tanah bukit di kuala Krai dengann menaiki bot untuk menoreh disana. Kami sering ditinggalkan demi mencari rezzeki untuk kami biar pun ia penat dan meletihkan.

Ujian ibu yang paling besar ialah melahirkan 4 orang anak yang cacat penglihatan iaitu seorang kakak, seorang abang diriku dan seorang adik lelakiku. Kami mempunyai 11 adik-beradik dan 5 daripadanya telah pun meninggal dunia sejak mereka masih kecil lagi kecuali abangku yang telah meninggal ketika berumur 26 tahun. Kini tinggallah kami enam orang adik-beradik bersama ayah meneruskan hidup di dunia ini. Baru-baru ini ayah pun telah berkahwin semula dan kami mendapat ibu tiri. Tapi kami tak kisah ayah berkahwin demi kebaikan dirinya. Biarlah ada orang yang menemaninya dan menjaga kebajikannya lantaran aku tak mampu menjalankan tanggung-jawab itu. Lagi pun, ibu tiriku tu memang baik. Mudah-mudahan ayah hidup bahagia bersama ibu tiriku. Amin.

Kesabaran dan ketabahan ibu melahirkan 4 orang anak cacat penglihatan dan kehilangan 4 orang anak yang dikasihi ketika kecil dan seorang lagi setelah dewasa mudah-mudahan Allah menggantikannya dengan syurga.

Abangku yang telah meninggal dunia ketika berumur 26 tahun merupakan permata yang tidak ternilai dalam keluarga kami. Dia seorang yang bijak dan seorang yang telah menghafaz Al-quran. Dia juga buta seperti diriku. Dia juga telah menamatkan pengajian di Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial kepujian Kelas Pertama.Pada masa yang sama dia telah menghafaz Al-quran dalam masa 7 bulan setengah sewaktu pengajiannya di Universiti Malaya. Kemudian dia melanjutkan pengajiannya di Pusat Islam. Namun begitu, dia telah mula menghadapi kesakitan di bahagian tulang belakang akibat terjatuh di dalam sebuah longkang yang akhirnya secara perlahan-lahan menjejaskan tulang belakang. Tapi aku dengar ada sebab-sebab lain lagi yang menyebabkan dia mengalami kecederaan tulang belakang. Entahlah. Sewaktu dia menyertai pertandingan menghafaz Al-quran di Kuantan Pahang, dia terpaksa dimasukkan ke hospital dan dia telah lumpuh dari pingang hingga ke kaki. Ibu dan ayah membawanya pulang untuk mendapatkan rawatan secara tradisional dengan kehendak abangku sendiri. Sejak hari itu, abangku telah lumpuh dan ibu dan ayahlah yang menjaga dan menguruskan diri abangku. Ibu dan ayahlah yang memandikkannya, mewudhukkan dan lain-lain tanpa rasa jemu dan bosan. Namun, istimewanya bangku ini walau pun dia sakit dan terlantar, dia tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa membaca ayat suci Al-quran yang dihafaznya. Dia tidak mahu mendapat rawatan di hospital pun kerana dia kata susah hendak solat. Tuhan lebih sayangkan dirinya. Akhirnya suatu pagi hari ahad 24 Februari 1991, dia telah pergi meningalkan kami semua. Saat itu, aku terdengar abangku memanggil ibuku dalam keadaan yang tercungap-cungap. Selepas itu, datukku membacakan Surah Yasin untuknya. Pada waktu hujan mula turun sederhana lebat dan aku merasakan ada sesuatu yang akan berlaku kepada bangku. Akhirnya dia telah kembali ke rahmatullah ketika sedang membaca ayat suci Al-quran. Setelah selesai pengkebumiannya, ramai orang yang bercerita tentang abangku.Antaranya ialah:

Ramai orang yang hadhir mengatakan mereka nampak jasad abangku bercahaya dan sewaktu pengkebumiannya kuburnya kering kontang. Ini kerana di kawasan perkuburan itu selalunya terdapat banyak air. Tetapi kubur abangku kering kontang.

Abangku adalah seorang penghafaz Al-Quran. Jadi dia boleh menshafaatkan 10 orang ahli keluarganya. Itulah keistimewaannya. Itulah permata yang tidak ternilai yang Allah kurniakan kepada ibu, ayah dan kami semua. Ibu pernah menceritakan tentang kisah abangku sewaktu dia hendak dihantar bersekolah di Johor Bahru. Ramai yang menentang abangku dihantar ke sekolah. Mereka menganggap ibu dan ayah tidak sayangkan anak sehingga sanggup menghantarnya ke sana. Tapi ibu dan ayah tetap berdegil dan menghantarnya ke sekolah tersebut. Bayangkanlah kalau ibu dan ayah akur dengan orang kampung, dapatkan aku, abangku dan adikku berjaya seperti sekarang ini? Itulah pengorbanan mereka merelakan perpisahan dengan anak yang masih kecil demi kejayaan dan kebahagiaan kami.

Ibu juga pernah menceritakan bahawa dia bermimpi bahawa Arwah abangku pulang ke rumah dengan memakai jubah yang sangat cantik dan matanya telah celik dan ibu berpesan agar aku menjadi mencontohi abangku. Ibu sering berpesan agar aku tidak meninggalkan solat. Dia juga sering berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh sehingga ke universiti. Hasilnya pada Ogos 1999, dia sempat menyaksikan kejayaanku mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Kepujian Kelas Pertama di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya dengan ditemani oleh ayah dan adik-beradikku.

Itulah coretan peristiwa pemergian ibu dan abang yang dikasihi yang aku ingin paparkan kepada kepada kalian sebagai iktibar kepada diriku dan kalian. Hargailah jasa dan pengorbanan ibu kita. Berbaktilah kepadanya selagi dia masih ada bersama kita. Kini, aku hanya mampu mengiringi pemergian ibu dengan doa sahaja. Semoga dia mendapat syurga yang paling tinggi sekali. Amin.

Thursday, March 4, 2010

SECORET PERISTIWA DARI MENARA GADING ; PENGALAMAN MENYERTAI PROGRAM SPIRITUAL HAPPINESS

SECORET PERISTIWA DARI MENARA GADING ; PENGALAMAN MENYERTAI PROGRAM SPIRITUAL HAPPINESS

Pada 18 hingga 20 Februari saya telah menyertai satu program motivasi yang bertajuk “Spiritual Happiness” Anjuran bersama Seksyen Kaunseling, Kerjaya dan OKU dan Syarikat Airborne Discovery. Program tersebut diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman kedua belas. Peserta OKU hanya ada dua orang iaitu saya dan Arif. Alhamdulillah programnya sangat menarik dan begitu bermanfaat sekali untuk kami. Program tersebut telah disertai oleh lebih kurang 30 orang pelajar Universiti Malaya dari pelbagai fakulti.

Pengisian program terdiri dari Ceramah Oleh Haji Norazizan dan Ustaz Afandi Jamhur, pelbagai simulasi dan latihan serta tayangan pelbagai klip vedio, aktiviti padang, Dari hati ke hati, Qiamul lail dan Hipnoterapi. Memang tak boring dan tak mengantuk. Jutaan terima kasih diucapkan kepada saudara Fahmi dan Rizqi kerana begitu setia tanpa jemu membantu saya dan Arif sepanjang program berlangsung. Semoga Allah sentiasa merahmati dan sentiasa melimpahkan kalian dengan nikmat yang tidak terhingga. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain yang sama-sama menyokong kami berdua. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Haji Norazizan dan Para fasilitator yang telah membantu kami sepanjang program.

Dalam program ini peserta telah didedahkan dengan asal kejadian manusia dari dalam rahim ibu sehinggalah kita dilahirkan. Peserta telah dipertontonkan dengan beberapa klip vedio yang berkaitan dengan proses kejadian manusia.Para peserta juga dipertonton tentang kejadian yang mengerikan dan dahsyat seperti tsunami dan gempa bumi. Antara klip vedio yang menyentuh hati saya ialah kisah pengguran bayi. Sebenarnya banyak lagi klip vedio yang dipertontonkan.Tetapi tidaklah dapat saya sebutkan semuanya. Semuanya ini bertujuan untuk menyedarkan tentang hakikat kejadian manusia yang dilahirkan sebagai seorang juara. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan rasa bersyukur tentang nikmat kehidupan yang sedang kita kecapi kurniaan Allah. Yakin pada diri, percaya kepada potensi diri, menghargai diri sendiri dan orang lain serta alam sekililing, sabar menghadapi ujian hidup, membina ukhwah dan kasih-sayang sesama insan, taat kepada Allah, Rasul dan menghargai ibubapa. Ibubapa adalah elemen yang penting dalam membina kekuatan spiritual dan beroleh kejayaan dunia akhirat.

Disamping itu, banyak juga simulasi yang dilaksanakan dalam program yang menarik. Antaranya melepaskan diri dari tali yang diikatkan kepada tangan dua orang, membuat pesawat, mengoyakkan kertas melalui arahan yang diberikan, borang nikmat kehidupan, melukis wajah kawan dan simulasi persahabatan. Disamping itu juga, kami juga melakukan senaman dan permainan yang menarik sebagai selingan dalam program tersebut.Misalnya, permainan hujan rintik-rintik, Osman-omar, Marina menari di menara, aktiviti berjalan dalam bulatan dan banyak lagi.

Pada pagi jumaat 19 Februari, kami semua dikehendaki melakukan aktiviti padang melalui aktiviti tertentu secara berkumpulan. Permainannya mencabar dan benar-benar menguji kekuatan minda dan spiritual peserta. Antara permainan itu ialah:
1. memindahkan buluh dari kawan kepada kawan dalam kumpulan menggunakan leher dan tidak boleh disentuh dengan tangan.
2. Memasukkan guli dalam batang paip.
3. memindahkan telur menggunakan tali.
4. Gincu mix.
5. Gelen bocor.
6. bersilang tangan.
7. Memindahkan kawan di atas riba kawan secara berbaring.

Semua aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua pasukan kecuali gelen bocor. Semua pasukan gagal mencapai matlamatnya. Gelen bocor ini memerlukan kesabaran dan perancangan strategi yang tepat untuk menimbulkan bola pingpong di permukaan gelen. Peserta dikehendaki menutup lubang di sekeliling gelen tersebut agar air tidak keluar apabila diisi dengan air. Nampak macam mudah tapi susah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan kerjasama, strategi dan perancangan yang tepat.

Apa yang menariknya lagi, Syarikat Airborne Discovery juga menyediakan perkhidmatan ”finggerprint analysis” iaitu analisa cap jari manusia. Melalui cap jari ini kita dapat tahu kekuatan dan kelemahan semulajadi kita.Cap jari 10 jari kita akan di imbas melalui alat pengimbas yang disambungkan ke komputer. Melalui cap jari itu satu analisis melalui satu perisian khas dan keputusan akan dikeluarkan dengan bakat dan kelemahan kita. Ini bukan bermaksud kita tidak boleh ubah diri kita. Kita boleh mengubahnya kalau kita mahu. Tapi ini adalah panduan tentang kekuatan dan kelemahan yang ada pada kita. Analisa cap jari dibuat melalui kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi. Kita pertingkatkan bakat dan kekuatan kita. Sementara pada masa yang sama baikilah kelemahan diri kita.

Pengajaran yang diperolehi dari program ini adalah seperti berikut:

1. Setiap manusia yang dilahirkan adalah seorang juara.Kekalkanlah kejuaraan itu sehingga ke akhir hayat kita.
2. Kehidupan ini merupakan perpindahan dari satu masalah kepada masalah yang lain. Oleh itu, hadapilah setiap masalah dengan sabar, tenang dan bersyukur kepada Allah.
3. Yakin dan percayalah kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan.
4. Bersedialah untuk melepaskan apa sahaja yang kita sayang dalam hidup kita agar kita tidak menderita apabila kita kehilangannya.
5. Pentingnya kita menghargai diri sendiri, ibubapa, sahabat dan orang di sekeliling dalam kehidupan kita.
6. Berbaktilah kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada kita.
7. Bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.
8. Persiaapkan diri untuk menghadapi kematian dengan amal yang soleh.
9. Pentingnya kerjasama dalam pasukan.
10. Kejayaan adalah milik semua orang yang ingin dan berusaha keuntuk mencapainya.
11. Pentingnya persahabatan.
12. Pentingnya memiliki hati yang bersih.
13. Kekuatan spiritual merupakan elemaen yang penting selain dari emosi, mental dan fizikal seseorang.
14. Pentingnya kita redha kepada setiap musibah yang melanda diri dan keluarga kita.
15. Setiap apa yang berlaku ke atas diri kita ada hikmah disebaliknya.
16. Kehidupan adalah ujian dari Allah untuk kita.

Akhir kata, terimakasih kepada kalian yang tidak jemu-jemu membantu dan menyokong dalam program tersebut. Terimakasih juga kepada Chen Ho kerana telah menghadiahkan sebuah lukisan wajah saya. Bersyukur kepada Allah yang telah memilih saya sebagai salah seorang peserta program.

Wednesday, February 24, 2010

Secoret peristiwa di menara gading

Pada 22 Januari, Seksyen Kaunseling, Kerjaya dan OKU Universiti Malaya bersama Syarikat IBM telah mengadakan hari kerjaya untuk mahasiswa OKU yang melibatkan mahasiswa di beberapa buah universiti di sekitar Lembah Klang iaitu Universiti Malaya sebagai tuan rumah, Universiti Isalam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia dan Universiti Institut Teknologi Mara. Program ini telah diadakan di auditorium Kompleks Perdana Siswa dan dihadiri oleh lebih 50 orang mahasiswa terdiri dari pelbagai kecacatan zeperti buta, cacat anggota dan lain-lain.Program ini diadakan bertujuan mendedahkan mahasiswa dengan Syarikat IBM dan kaedah menghadapi temuduga. Selain itu, Sesi perkongsian pengalaman juga diadakan yang diwakili olwh Pekerja OKU yang bekerja dengan IBM serta pelajar OKU dari Universiti Malaya. Saya telah dipertanggung-jawabkan berkongsi pengalaman tentang pengalaman saya sepanjang hidup dalam konteks belajar dan bekerja. Alhamdulillah saya telah Berjaya membuat pembentangan yang baik berdasarkan maklum balas dari pihak penganjur dan peserta.

Kami juga telah diberi beg IBM, sehelai baju T Hari kerjaya, pen dan lain-lain. Selain itu, bahan kursus dalam Braille juga telah disediakan hasil cetakan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia. Tak kurang juga makanannya yang sedap dan lazat untuk sarapan dan makan tengahari. Program itu berlangsung dalam dua sesi iaitu pagi dan petang. Atur cara program adalah seperti di bawah ini.


Time Proposed Agenda Description

9:00 – 9.30 Preparation (UM committee) Ensure room is set up
9:30 - 10:00 Participant arrive at the Hall + Registeration - Welcoming the participants. Help them seated.

10:00 - 10:30
Opening (UM /IBM)

-Welcome Speech from Prof. Madya Datuk Dr Azarae Hj Idris , Deputy Vice-Chancellor, Student Affairs & Alumni Division, University of Malaya

-Introduction from IBM
By Country HR Director – Mr Kenneth Ho

10:30 -11:00
IBM

-IBM Diversity Presentation + Video
By Pn Khairiyatun Azlina
IBM Asia Pacific Executive
Recruitment Manager

11:00 - 12:30 Sharing of experience
a.Career in IBM - Loo Hwai Sheng , IBM Manager

-b. My Day in Life - Top PwD student from University of Malaya, Zamzuri Ghani


12:30 - 02:30
Lunch - Networking
-Lunch & getting to know you

02:30 - 03:45 Career Presentation & Dialogue
By Rejesh Mehta (PwD)
-IBM ASEAN Career Development Lead Presentation

03:45 - 04:00
Feedback Session Q & A

04:00 Closing

Di dalam program ini, saya berkesempatan berkenalan dengan rakan-rakan OOKU yang lain dari Universiti Islam Antarabangsayang kebetulan duduk semeja dengan saya dalam program tersebut. Kami semua bersolat Jumaat di Surau Institut Bahasa dengan menaiki bas dan van yang disediakan. Setelah selesai program, saya menyertai pelajar aUIA menaiki bas universiti tersebut untuk pulang ke rumah. Sampai di UIA, saya telah dihantar oleh salah seorang rakan OKU dengan kereta ke rumah. Pertemuan seumpama ini telah menambahkan lagi kenalan baru saya dan rupanya ramai juga sahabat kita yang OKU di universiti yang lain selain dari Universiti Malaya. Tetapi mereka tidak mempunyai persatuan sendiri yang mewakili suara mereka di universiti berbanding dengan Universiti Malaya di mana pelajarnya telah mempunyai persatuan iaitu Persatuan Mahasiswa Istimewa UM.Tapi malangnya saya tidak berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan dari universiti lain yang buta. Yang saya temui memiliki kecacatan anggota dan lain-lain.

Menurut salah seorang rakan saya dari UKM, mereka baru sahaja menubuhkan sebuah kelab untuk mahasiswa OKU disana. Semoga mereka Berjaya memperkasakan suara mahasiswa OKU di sana. Kita juga perlu mengadakan pelbagai program bersama demi perpaduan dan memartabatkan OKU khususnya mahaiswa OKU di mata masyarakat.

Jutaan terimakasih juga saya ucapkan kepada lebih kurang 20 pelajar Sarjan Muda Kaunseling tahun kedua yang turut terlibat dalam pengendalian program ini. Layanan yang baik yang telah diberikan kepada peserta program tidak akan saya lupakan. Hanya allah yang akan membalas jasa mereka. Mereka Sebenarnya juga merupakan pelajar saya sendiri. Kepada pihak Hal-ehwal pelajar seksyen kaunseling, kerjaya dan oku terutama Puan Liza dan Che’ Maznah, saya mengucapkan jutaan terimakasih. Begitu juga kepada semua rakan-rakan yang turut serta dalam program ini.

Thursday, February 4, 2010

Rahsia Tahi Lalat

RAHSIA TAHI LALAT
Di sini saya mempersembahkan satu artikel yang saya ambil dari internet iaitu blog kamar rahsia untuk kita renung bersama. Betul tak kedudukan tahi lalat tu boleh menggambarkan personaliti seseorang. Pesanan saya jangan percaya PR 100. Kalau potensi yang baik cubalah kita pertingkatkan. Kalau yang negatif tu cubalah kita buang atau perbaiki.

Masyarakat pada zaman dahulu mengenal seseorang dgn melihat tanda pada badannya. Diturunkan di sini firasat tentang tahi lalat. Sejauhmana kebenarannya tidaklah diketahui dgn jelas. Namun begitu,ia biasa diajarkan di kalangan Masyarakat Melayu. Hanyalah sekadar menambah pengetahuan semata-mata.
TANDA
FIRASAT TAHI LALAT
bibir atas kanan
banyak rezeki, pandai
bibir atas kiri
ramai kawan, baik hati
bibir bawah kanan
disegani orang, ramai yg suka
bibir bawah kiri
pandai bicara, tak mudah kalah
leher kanan
cerdas, jujur, berani menderita
leher kiri
cerdas dlm segala hal dan banyak pengetahuan
leher di tengah
tercapai cita-cita
biji mata kanan
Suka serong dan pembohong
biji mata kiri
pembohong tetapi baik hati
hujung mata kanan
Baik hati, sopan santun, cerdas
hujung mata kiri
baik budi, murah rezeki
Punggung kanan
agak mengalami kesulitan
Punggung kiri
malas dan suka duduk
betis kanan
suka berhibur, boros
betis kiri
rajin,tidak suka menganggur
lutut kanan
bersikap tidak peduli dan tak mahu berusaha
lutut kiri
kurang kuat berusaha
kepala sebelah kanan
Terkabul cita-cita
kepala sebelah kiri
sering menemui kesusahan
kepala sebelah belakang
jujur, sabar dan tekun
kening kanan
cerdas dan cekap
kening kiri
cerdas, sopan santun
Tengah kening
keras hati, berani segala hal
Hujung mulut kanan
kecil rezeki, tak mudah kalah
Hujung mulut kiri
suka berpoya-poya
ketiak kanan
dapat menyimpan rahsia
ketiak kiri
jujur, banyak yang cinta
pergelangan kaki kanan
suka berpergian (keluar rumah)
pergelangan kaki kiri
kehendak kuat
batang hidung
banyak dicintai orang dan dapat menjadi kaya
pada hidung
banyak rezeki
dagu bawah kanan
jujur dan baik hati
dagu bawah kiri
bijak sana dan berbudi luhur
kemaluan kanan atau kiri
baik, suka senggama
di kepala kemaluan (lelaki)
bakal beristeri 2
tumit kanan
jujur dan banyak kawan
tumit kiri
baik budi
alis kanan
suka menolong, baik hati
alis kiri
ramai yang suka
pangkal peha kanan
kemahuan kuat
pangkal peha kiri
suka kerja apa pun
telapak kaki kanan
tak mudah mengeluh
jari kaki kanan
suka menolong
jari kaki kiri
berbudi, suka berbuat baik
bahu kanan
cermat dlm membuat keputusan, banyak tanggungan
bahu kiri
suka kerja keras, banyak tanggungjawab
buah dada kanan
baik hati, pendiam, simpan rahsia
buah dada kiri
ramai kawan, setia pada pasangan
lengan kanan
setia dan taat pada atasan
lengan kiri
menepati janji dan rajin
pipi kanan
ramai teman
tengah-tengah pipi kanan
ramai yg suka
tengah-tengah pipi kiri
ramai teman
ubun-ubun
kurang jujur
pusat
cerdas, tangkas, tekun
pusat bahagian kanan
sejahtera dalam hidup
pusat bahagian kiri
beroleh kemuliaan
pinggang kanan
sayang pada pasangan hidup
pinggang kiri
disayang pasangan hidup
dada kanan
dapat mengatasi masalah
dada kiri
berani, jujur dan sabar
telapak kaki kanan
tidak mudah mengeluh
telapak kaki kiri
baik budi pekertinya
siku tangan kanan
kuat ingin memiliki kekayaan
siku tangan kiri
baik hati, suka menolong
jari tangan kanan
serba beroleh keuntungan
jari tangan kiri
serba baik bekerja
jari telapak tangan kanan
banyak rezeki tapi boros
jari telapak tangan kiri
banyak rezeki dan cermat
pergelangan tangan kanan
boros, suka bersukaria
pergelangan tangan kiri
dapat berpangkat
perut bawah kanan
banyak rezeki, suka memberi maaf
perut bawah kiri
baik hati, tenang hidupnya
sudut mata kanan dalam
disayang suami atau isteri
sudut mata kiri dalam
tidak mudah dilupakan pasangan
sudut mata kanan luar
baik budi, ramai yg cinta
pelipis kiri
murah rezeki, dpt jadi kaya
pelipis kanan
serba berhasil dalam usaha
kelopak mata kanan atas
baik hati, ramah, berjaya
kelopak mata kiri atas
baik budi, ramai yg suka
kelopak mata kanan bawah
agak malas
kelopak mata kiri bawah
agak bodoh, kurang bijaksana
*Betul atau tidak. Perkara macam ni .....tapi sekadar suka-suka je. Bagi yang OKU Penglihatan tu suruhlah siapa-siapa yang boleh dipercayai tolong tengokkan selurah tahi lalat di seluruh badan anda. Tapi jangan percaya PR 100. cuba semak sama ada betul tak apa yang dinyatakan iaitu kedudukan tahi lalat dengan personaliti anda secara jujur.

Thursday, January 28, 2010

Bingkisan Menara Gading

Assalamualaikum! Apa khabar pengunjung blog ini. Selamat datang saya ucapkan kepada semua. Terimakasih yang tidak saya ucapkan kerana kesudian rakan-rakan semua melayari blog yang tidak sepertinya ini. Hari ini pembaca sukarela saya tidak datang. Jadi, berkesempatanlah diri saya melawati blog rakan-rakan semua. Memang hebat blog kalian, rasanya diantara blog rakan-rakan dengan saya seperti langit dengan bumi. Blog saya tidak secanggih blog rakan semua. Walau bagaimana pun, saya amat berharap nukilan dan tulisan dalam blog saya sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada rakan-rakan semua.

Jutaan terimakasih kepada Rasasayang79 dan Ketua Panitia Sejarah MSAB kerana menjadi ”follower” blog saya. Saya juga telah beberapa kali melawat blog rasasayang79. Memang menarik dan hebat sekali. Begitu juga dengan blog yang lain. Terimakasih juga kepada rakan-rakan yang sudi memautkan blog saya kepada blog saudara semua. Setelah saya membaca blog rakan-rakan semua, saya berasa amat kagum dengan kebolehan rakan-rakan semua dalam bidang teknologi kerana telah berjaya menghasilkan blog yang canggih serta memuatkannya dengan pelbagai pengisian yang menarik, berilmu dan sangat bermanfaat untuk diri saya dan para pembaca sekalian. Moga usaha anda semua akan memberi impak positif kepada semua pihak terutama golongan buta di Malaysia. Kehadiran blog anda semua akan menghangatkan lagi kemajuan ICT di kalangan kita.
Ia juga memberi gambaran bahawa golongan buta juga tidak ketinggalan dalam mengecapi dan menikmati indahnya dunia ICT sebagaimana orang yang celik.

Di saat ini, saya masih lagi menyambung pengajian saya dalam bidang kedoktoran( PhD) pengkhususan kaunseling di Fakulti Pendidikan Universi Malaya.Disamping itu, saya juga menjadi salah seorang tenaga pengajar di sini bagi mengajar pelajar Sarjana Muda Kaunseling. Untuk penggetahuan semua, pengajian saya ditaja oleh pihak universiti melalui Skim Biasiswazah Universiti Malaya. Oleh itu, Saya disyaratkan mengajar sekurang-kurangnya tiga jam seminggu.
Setelah hampir dua tahun pengajian, Saya telah mengajar tiga semester termasuk semester kali ini. Saya telah dipertanggung-jawabkan untuk mengajar mata pelajaran teknik kaunseling dan psikologi perkembangan kepada para pelajar Sarjana Muda Kaunseling di Fakulti Pendidikan.
Sebagai pelajar, saya dikehendaki mengambil tujuh matapelajaran yang berkaitan dengan Kaunseling dan kaedah membuat kajian iaitu empat matapelajaran Kaunseling dan tiga mata pelajaran yang berkaitan dengan kaedah membuat kajian. Saya juga dikehendaki membuat kajian khusus (disertasi) yang berkaitan dengan psikologi dan kaunseling untuk memenuhi keperluan pengajian. Jangka masa pengajian ialah tiga hingga lapan tahun. Saya berharap agar dapat menyempurnakannya secepat mungkin.

Kini, saya telah berjaya lulus dengan cemerlang dalam enam subjek yang telah saya ambil. Cuma tinggal satu lagi sahaja yang belum saya ambil kerana tidak ditawarkan pada semester ini. Saya juga telah memulakan penyelidikan yang bertajuk ”Pengalaman Konflik Emosi Di Kalangan OKU Penglihatan di Bandaraya Kuala Lumpurr” dengan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif. Penyelidikan ini memerlukan saya mencari 10 orang Oku penglihatan sebagai responden untuk ditemuduga bagi mendapatkan data dalam penyelidikan. Temuduga yang dibuat akan ditranskripsikan dan kemudiannya akan dianalisis.Data yang diperolehi akan dianalisis dan menghasilkan dapatan penyelidikan. Penyelidikan akan ditulis dalam lima bab sekurang-kurang 30000 patah perkataan. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan penyelidikan ini secepat ungkin.

Sebagai seorang pelajar, saya akan berulang-alik dari Batu 6 Gombak menaiki teksi, LRT Putera dan bas untuk sampai ke Universiti Malaya iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Saya akan berada di perpustakaan utama Universiti Malaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk mencari bahan pembelajaran dan penyelidikan dengan dibantu oleh para pembaca sukarela. Mereka inilah yang telah banyak membantu kami golongan mahasiswa buta untuk mendapatkan bahan-bahan penyelidikan dan pembelajaran. Mereka jugalah teman dan rakan kami di sini. Malah ada diantara bekas pelajar yang mendapat jodoh di kalangan para pembaca sukarela. Banyak cerita suka duka yang dialami bersama-sama dengan mereka. Betapa besarnya jasa mereka terhadap kami semua.
Hanya Allah sahajalah yang akam membalas segala kebaikan mereka.
Di perpustakaan utama UM ini disediakan sebuah bilik (carrel) di aras satu dan dua untuk setiap mahasiswa buta bagi menjalankan sesi bacaan bersama pembaca sukarela. Sekarang ini kami juga boleh mengakses internet dari karel ini melalui ”wireless network”. Di perpustakaan utama. Mak mal S yang berada di aras tiga pula merupakan sebuah bilik yang boleh digunakan oleh mahasiswa buta untuk menggunakan komputer (PC) yang dilengkapi dengan pembaca skrin bersuara yang juga boleh digunakan untuk mengakses internet.Di situ juga terdapat sebuah ”Emboser” untuk mencetak bahan dalam bentuk Braille. Kemudahan inimemudahkan kami untuk mencari bahan pembelajaran dari luar negara seperti ”E books”, jurnal dan disertasi.

Bagi mendapatkan seramai mungkin pembaca sukarela, kami akan menampalkan borang yang telah dilengkapkan dengan jadual waktu bila pembaca sukarela diperlukandi bahagian meletak beg di pintu masuk perpustakaan utama. Saya juga telah menampalkan borang di kolej kediaman untuk mendapatkan pembaca sukarela. Para pembaca sukarela ini adalah terdiri dari kalangan mahasiswa yang menuntut dalam pelbagai fakulti. Ada juga di kalangan pembaca sukarela ini terdiri dari bukan mahasiswa yang sudi menjadi pembaca sukarela. Mereka boleh menghubungi mahasiswa buta itu sendiri, seksyen kaunseling, kerjaya dan OKU dan pihak perpustakaan utama. Iklan dan kempen untuk mencari pembaca sukarela sering juga diadakan oleh beberapa pihak seperti Sekyen Kaunseling, Kerjaya dan OKU, Persatuan Mahasiswa Istimewa UM dan beberapa pihak di universiti yang prihatin dengan perkara ini. Baru-baru ini Pelajar koleh Kediaman Keempat (Kolej Bisrtari) melalui program ”care for all” telah juga mengusahakan pencarian pembaca sukarela kepada mahasiswa buta. Usaha seumpama ini patut diberi sanjungan dan dicontohi oleh mahasiswa lain. Saya sendiri memerlukan sekurang-kurangnya 20 orang pembaca sukarela seminggu untuk melancarkan pemyelidikan saya. Selalunya para sukarelawan ini dikehendaki membaca selama satu jam setiap minggu sehingga tamat semester tersebut. Setiap semester, kami akan mencari pembaca sukarela yang baru. Tetapi sekiranya ramai juga para pembaca sukarela yang lama meneruskan perkhidmatan mereka pada setiap semester.

Di kolej kediaman Za’ba, disediakan sebuah bilik (bilik seri jati) yang telah mula beroperasi pada tahun 1998 bagi digunakan oleh mahasiswa buta untuk belajar dan bilik tersebut telah dilengkapi dengan komputer dan pembaca skrin bersuara. Kini, bilik tersebut telah dibina semula dengan lebih sempurna dan menarik dan dilengkapi dengan lebih kurang 20 buah komputer dan boleh mengakses internet. Bilik ini juga menjadi bilik gerakan Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya yang telah ditubuhkan pada tahun 1998. Cerita tentang persatuan ini akan saya lanjutkan dalam penulisan yang akan datang.

Sebelum saya mengakhiri bingkisan saya ini, saya ingin memaparkan sebuah kisah tentang apa itu menara gading?

Ketika saya bersama rakan saya pulang dari Universiti Malaya, kami telah menaiki sebuah teksi untuk pulan ke rumah di batu enam Gombak. Setelah kami menaiki teksi tersebut, kami berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut.

”Anak berdua ni kerja kat mana?”
Tanya pemandu teksi.
”Kami tak kerja pacik, kami masih belajar lagi di Universiti Malaya.” Saya memberikan penerangan.

”Oh ya ke! Rupa-rupanya anak berdua ni belajar di menara gading.” Kata emandu teksi itu terkejut.

”Begitulah lebih kurang” Rakanku membalas.

”Anak tahu tak apa dia menara gading?” Soal pemandu teksi tersebut.

Kami terdiam samberfikir sejenak.

”Menara dan gading. Cuba fikir.” Pemandu teksi meneruskan kata-katanya.

”Menara tu tempat adik menuntut ilmulah iaitu di universiti. Menara tu kan tinggi mengambarkan ilmu yang dicari.”Gading pula merupakan sesuatu yang berharga. Kalau dijual mahal harganya. Nak dapatkan gading tu bukannya senang. Jadi gading yang dimaksudkan tu ialah ijazah yang adik dapatlah.” Pemandu teksi memberi penjelasan lanjut.

”Yalah betullah kata pakcik.” Kami mengiakan kata-kata pemandu teksi tersebut.

Sebelum kami turun dari teksi tersebut, dia melontarkan pesanan ini kepada kami.

”jangan lupa membawa gading pulang dari menara.”

Kami hanya mampu tersenuyum sahaja sambil mengucapkan terimakasih kepada pemandu teksi tersebut.

Benmarlah kata pemandu teksi tersebut. Menara gading memberikan satu pengertian yang amat mendalam dan bermakna kepada semua mahasiswa yang sedang berada di puncak menara gading termasuklah kami mahasiswa buta.
Fikir-fikirkanlah wahai semua mahasiswa yang sedang belajar di menara gading. Bawalah pulang gading itu ke pangkuan kelu