Monday, March 22, 2010

ulasan buku

ULASAN BUKU: “SIAPA BERSAMA MEREKA”.

Buku ”Siapa Bersama Mereka” merupakan sebuah buku yang telah diterbitkan oleh National Counsil Of The Blind (NCBM) pada tahun 2006. Buku ini mengisahkan 24 orang buta yang telah berjaya dalam kehidupan dan memberi sumbangan yang besar kepada golongan senasib. Kisah kehidupan ini telah diolah dalam bentuk cerpen oleh beberapa orang penulis buta sendiri yang telah mencipta nama iaitu Mohd Ghazali Tocheh, Norhashimah Hashim dan Emi Suzani. Buku ini boleh diperolehi di NCBM dalam bentuk CD. Buku ini telah saya pinjam dari Perpustakaan Utama Universiti Malaya dan dibaca oleh beberapa para pembaca sukarela. Saya berpendapat buku ini patut dibaca oleh golongan buta kerana ia mengisahkan pengorbanan, liku-liku dan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Melalui kisah suka-duka, jerih-perit, latar belakang kehidupan, pengalaman pahit dan manis mereka memberikan kesedaran dan keinsafan kepada saya bahawa Allah itu maha pengasih dan penyayang kepada setiap hambanya. Allah menjadikan kita cacat pancaindera tapi Allah tidak cacat menjadikan hambanya walau pun ia mengalami kekurangan tertentu. Tetapi terlalu banyak nikmat telah dikurnikan kepada saya dan kita semua. Oleh yang demikian, kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan meski pun kita cacat penglihatan. Kejayaan yang telah dikecapi oleh 24 orang tokoh patut dicontohi dan menjadi “role model” kepada kita.

Ada diantara tokoh-tokoh tersebut yang tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini. Setelah membaca buku tersebut, barulah saya mengenali mereka. Ada juga antara tokoh-tokoh yang sering kita dengar tetapi kita tidak mengenali secara mendalam kisah kehidupannya. Oleh yang demikian, melalui buku ini saya dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam dan mengetahui perjalanan hidup mereka yang telah berjaya dalam pelbagai lapangan yang diceburi. Siapa sangka insan yang buta ini juga berupaya mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Ada yang menjalankan perniagaan penerbitan, penternakan ikan air tawar, pakar ekonomi, penanaman cendawan, membuat bakul rotan, terlibat dalam perniagaan urut dan lain-lain. Tidak kurang juga diantara mereka terlibat aktif dalam NGO yang berkaitan dengan OKU penglihatan.

Melalui pembacaan buku ini, saya juga dapat banyak maklumat tentang perkembangan pendidikan orang cacat penglihatan dari zaman Jepun dan British sehinggalah sekarang berdasarkan kisah perjalanan tokoh-tokoh. Begitu juga tentang sejarah Pusat latihan Gurney dan MAB yang telah banyak berjasa kepada orang cacat penglihatan di Malaysia. Begitu juga dengan sekolah rendah saya dulu iaitu Sekolah Puteri Elizabeth di Johor Bahru Johor dan ST. Nicholas yang juga telah menyumbangkan jasa yang tidak ternilai kepada pendidikan orang cacat penglihatan di Malaysia. Situasi mereka lebih sukar dari kita sekarang dari segi pendidikan. Tetapi mereka masih berupaya berjaya dalam pelajaran. Contohnya Profesor Datok Ismail Salleh yang telah menjadi orang cacat penglihatan pertama mendapat Phd dari sebuah universiti di US. Begitu juga Encik Peter Chin Peng Kong yang menjadi orang cacat penglihatan pertama mendapat ijazah Sarjana Muda di Australia dan menjadi guru. Kejayaan mereka menjadi motivasi kepada saya untuk lebih gigih dan berjaya pada masa hadapan.

Kisah kehidupan yang dipaparkan ini adalah dari golongan cacat penglihatan yang telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Ada diantara mereka ini yang telah pun kembali ke rahmatullah seperti Allah yarham Mohd Ghazali Tocheh juga merupakan antara penulis buku ini, Allah yarham Profesor Datok Ismail Salleh, Allah yarham S. Jibeng dan mendiang Katan pilai. Bak kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Jasa mereka amat besar kepada kita semua. Oleh yang demikian, bacalah buku ini untuk mengetahui kisah selanjutnya. Ia boleh merangsang dan meningkatkan motivasi kita untuk berjaya di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment