Thursday, April 1, 2010

Memori Sewaktu Menunggu Keputusan SPM:)

Memori sewaktu menunggu keputusan peperiksaan SPM.

Assalamualaikum para pengunjung blog ini. Apakhabar kalian semua? Harap semuanya baik-baik dan luar biasa bagus semuanya. Saya alhamdulillah sihat. Cuma sibuk sikit dengan penyelidikan yang sedang dilakukan di Universiti Malaya. Terlebih dahulu nak ucapkan tahniah kepada adik-adik yang OKU Penglihatan dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM biar pun keputusan tu dah sebulan berlalu. Dengar ceritanya ada yang dapat 8A dalam SPM dan ada yang dapat 4A dalam STPM. Tahniah!

Di sini saya nak kongsi cerita tentang satu kisah yang tak kan saya lupakan iaitu sewaktu menunggu keputusan peperiksaan SPM 17 tahun yang lalu. Pelbagai kisah suka duka yang telah saya telah lalui ketika itu. Ia merupakan pengalaman pertama saya hidup berdikari di Bandaraya Kuala Lumpur bersama seorang rakan saya iaitu K. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, bacalah cerita di bawah ini.

Aku dan K telah mengambil keputusan untuk tidak balik ke kampung selepas menduduki peperiksaan SPMpada tahun 1992. Kami bercadang untuk bekerja sendiri demi mencari wang. Tambahan pula, masa untuk menunggu keputusan peperiksaan SPM terlalu lama. Aku malas hendak balik ke kampung kerana bosan tak tahu apa nak buat. Jadi, aku fikir lebih baiklah aku tinggal di Kuala Lumpur dan melakukan sebarang pekerjaan yang boleh memberikan sedikit wang kepadaku. Aku boleh simpan wang tersebut untuk masa depan. Itu kan lebih baik? Lagi pun K juga bersetuju dan sanggup bersama-samaku tidak pulang ke kampung dan mencari pekerjaan di sini. Oklah tu ada geng. Taklah bimbang sangat ada kawan. Aku telah menyampaikan hasrat kepada rakanku S yang sedang belajar di Darul-quran dan dia telah membantuku dengan membenarkan aku menumpang di asramanya di Darul-quran untuk sementara waktu sebelum kami mendapat tempat tinggal yang sesuai. Lagi pun pada waktu itu, pelajar Darul-quran sedang bercuti. Jadi asrama tempat S tinggal tu kosong sebab semua rakan-rakannya balik kampung kecuali dia seorang sahaja tak balik kampung. Aku dan K telah mengambil keputusan untuk menjual barang di Jln Melayu Masjid India setiap hari. Hasil kutipan dari duit tersebut kami bahagi dua. Macam barangan yang kami jual misalnya buah pala, minyak wangi, tisu, gula-gula dan lain-lain. Barang-barang tersebut kami letakkan di dalam raga. Tapi barang-barang tersebut tak beli banyak sebab kami tak ada tempat untuk menyimpan dan terpaksa dibawa balik setiap hari. Kami memulakan operasi perniagaan bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 7 malam. Selepas itu barulah kami pulang ke asrama Darul-quran. Begitulah rutin kami setiap hari. Memang seronok melakukan pekerjaan itu. Setiap hari kami dapat duit sama ada hasil jualan barangan tersebut atau pun wang tersebut disedekahkan sahaja kepada kami oleh orang ramai yang lalu lalang di situ. Hasil yang diperolehi aku simpan dalam bank. Cuma sedikit sahaja aku ambil untuk keperluan setiap hari. Setelah dua minggu berlalu, aku dan K terpaksa berpindah dari asrama Darul-quran kerana percutian palajar darul-quran telah tamat. Tetapi pada masa itu kami belum dapat rumah atau bilik untuk disewa. Oleh yang demikian, aku dan K berpindah ke masjid Kg Baru dan tinggal di situ untuk beberapa lama. Pada saat itu bermulalah episod keperitan hidup kami di Kuala Lumpur Bukan apa, aku dan K tidak mempunyai rumah untuk tinggal dan kami terpaksa menumpang di Masjid Kampung Baru hanya pada waktu malam sahaja iaitu untuk tidur sahaja. Kami terpaksa meletakkan pakaian kami di sebuah kedai buku berdekattan Masjid Kampung Baru dengan ehsan tuan kedai tersebut. Aku dan K hanya dibenarkan tidur di beranda masjid sahaja setiap malam. Dengan beralaskan cadar dan berbantalkan beg, aku dan K dan beberapa orang lain tidur setiap hari. Kalau hujan turun, kami terpaksa bangun kerana tempias hujan. Kami juga terpaksa bangun seawal 5 pagi dan bersiap-siap sementara menunggu solat subuh. Namun begitu, kami tetap meneruskan rutin harian di Jln Melayu Masjid India menjual barangan. Sewaktu hendak tidur, aku sering teringat ibu, ayah dan dik-adik di kampung. Terasa juga nak balik kampung. Terasa perit benar hidup di Kuala Lumpur kerana tak ada tempat tinggal. Macam orang merempat aku rasakan. Nasib baiklah aku tidak keseorangan. Taklah rasa bimbang sangat. Tapi yang bestnya, jemaah Masjid Kg Baru memang baik. Setiap kali aku bersolat di Masjid ini, ada sahaja orang memberi sedekah kepada kami. Paling kurang RM10. Dapatlah aku gunakan wwang tersebut untuk keperluan harianku. Kadang-kadang juga jika aku dan K makan di kedai berdekatan, ada sahaja orang yang belanja atau tak payah bayar. Wah! Jimatlah duit aku.

Alhamdulillah, selepas dua minggu aku merempat di Masjid Kampung Baru, Aku dan K telah menyewa sebuah bilik di Wisma Datok Dagang iaitu berdekatan dengan Masjid Kg Baru dengan bayaran RM295 terrmasuk bil air dan elektrik.Selepas aku menyewa di sana, aku dan K meneruskan kerja kami seperti biasa. Tetapi aku dan K telah memutuskan untu melakukan kerja tersebut masing-masing. Segala keuntungan dan wang yang diperolehi menjadi hak mutlak masing-masing. Kami tidak berkongsi lagi seperti dahulu.

Aku teringat satu peristiwa yang agak menyedihkan yang telah berlaku kepadaku dan K semasa kami bermusafir di Masjid Kg Baru. Pada mulanya kejadian ini berlaku kepada K. Tetapi ia juga melibatkanku. Ia berlaku di Masjid India. Sewaktu K hendak bersolat di Masjid tersebut, dia hendak ke tandas lalu dengan tergesa-gesa menyuruh seseorang menjaga beg dan barang jualan kami. Dalam begnya juga ada sedikit wang hasil perniagaan dan kad pengenalanku. Tetapi malangnya selepas dia keluar dari tandas, semua barangnya telah hilang kerana dicuri oleh orang tersebut. Puas dia mencarinya tetapi tidak berjumpa. Memanglah tak jumpa, K bukannya rupa orang yang telah diamanahkan menjaga barangannya. Aku tak kisah sangat hilang duit tu. Aku boleh cari lagi. Tapi kad pengenalanku juga telah hilang. Memang rumitlah. Buku bank aku pun turut hilang. Banyak kerjalah kena buat. Aku pun pergilah ke Balai Polis Jln Dang Wangi untuk melaporkan kehilang kad pengenalanku. Kemudian pihak polis telah memberikanku sehelai kertas sebagai akuan tentang kehilangan kad pengenalanku. Sambil dia menasihati aku agar berhati-hati agar kejadian seumpama itu tidakberlaku lagi.

Selang beberapa hari selepas kejadian itu, kejadian yang sama telah berlaku kepadaku pula. Malang tidak berbau. Apa nak buat. Semuanya ujian dari tuhan. Ketika aku hendak pergi ke Perhentian bas di Lebuh Ampang, aku telah disapa oleh seorang lelaki lalu menawarkan bantuan kepadaku untuk membawaku ke destinasi tersebut. Dia terus membawa aku ke perhentian bas Lebuh Ampang berhadapan dengan Bangunan Datok Zainal. Kami memanggilnya ”perhentian bas segi tiga atau pulau”. Sambil tu kami bercerita tentang kisah kehidupan masing-masing. Ketika kami bersembang, Aku terasa lelaki tersebut meraba-raba begku. Tapi aku buat tak tahu sahaja. Selepas ketibaanrakanku dan menyelesaikan beberapa perkara tertentu, lelaki tersebut masih menungguku. Kebetulan hari seperti hendak hujann. Selepas rakanku berlalu, dia mengajak aku untuk makan di sebuah restoran. Aku pun bersertuju. ”Ah makan freelah aku hari ni” detik hati kecilku.

Setelah kami duduk di salah sebuah meja di restoran tersebut, lelaki tersebut pun memesan dua gelas teh tarik. Aku pun meletakkan begku di atas meja. Beg tersebut berisi beberapa helai pakaian serta surat akuan polis yang menyatakan kehilangan kad pengenalanku. Kemudian dia berkata kepadaku,

”Adik duduk sekejap ya, abang nak pergi beli goreng pisang di luar restoran ni”.

Lalu dia pun keluar dari restoran tersebut. Lama aku menunggu lelaki tersebut tetapi dia tidak muncul-muncul lagi. Lebih kurang satu jam aku menunggunya.

Tiba-tiba pekerja restoran tersebut menyapaku.

”Adik tunggu siapa?. Ujarnya.

”Saya menunggu rakan saya tadi dia pergi beli goreng pisang di luar restoran ni.” aku menjelaskan.

”Mana ada orang jual goreng pisang di luar restoran ni.” Dia menjelaskan.

“Oh,ya ke!” Aku terkejut.

“Adik dah kena tipulah ni. Tadi abang perasan yang adik datang dengan seorang lelaki. Tadi abang nampak dia keluar terus dari restoran. Ingat ke dia dia hanya tolong adik je.” terang pekerja restoran tersebut.

Aku pun mencari begku di atas meja. Tetapi tidak berjumpa. Aku bertanya kepada pekerja restoran tersebut kalau-kalu dia ada nampak begku di atas meja. Tetapi dia menyatakan bahawa dia tidak nampak apa-apa beg di atas meja atau di bawah meja. Sahlah aku dah kena tipu. Beg aku pun dah kena curi. Hai apa nak buat. Sudah nasib terkena sekali lagi. Paling merisaukan aku ialah surat akuan kehilangan kad pengenalanku ada dalam beg tu. Sepatutnya aku mesti pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling Jaya dalam masa 14 hari. Sekarang ni surat tu dah hilang. Terpaksalah aku ke Balai Polis Dang Wangi sekali lagi melaporkan kehilangan surat tersebut.

”Takpalah adik, teh tarik ni tak payah bayar. Ni abang bagi Rm 3 untuk tambang balik.” Kata pekerja restoran tersebut sambil menghulurkan RM 3 kepadaku.
Aku pun mengambilnya. Memang geram betul dengan lelaki yang menipu aku tadi. Tak sangka aku kena tipu hari ni. Aku keluar dari restoran tersebut menuju ke Jalan Melayu untuk menyambung tugasku tanpa sebarang barangan sebab beg aku dah kena curi. Lalu aku pun pergilah membeli sedikit tisyu untuk dijual pada petang itu.

”Ah, janji dapat sedikit duit oklah” bisik hati kecilku.

Esoknya barulah aku melaporkan kejadian kehilangan surat akuan di balai polis. Justeru, aku pun menapaklah ke balai tersebut dengan perasaan bimbang dan sedih dengan kejadian yang telah berlaku.Sesampainya aku di balai polis aku pun melaporkan kehilangan surat akuan tersebut. Apa lagi, pegawai polis tu pun melentinglah. Aku yang dipersalahkan kerana tidak berhati-hati dan tidak menjaga surat tu dengan baik. Aku cuba membela diri. Pegawai polis tersebut memberi amaran jika sekali lagi surat akuan tu hilang, aku akan ditahan di dalam lokap. Hah geram betul aku. Tapi apa nak buat aku bersabar sahajalah. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah lelaki yang telah menipu aku. Dahlah kena tipu, kena marah dengan pegawai polis pulak tu. Alhamdulillah aku telah pergi ke JPN dan telah mendapatkan kad pengenalan baru.

Pengalaman itu tetap aku ingat sampai sekarang. Bila aku teringatkan peristiwa tersebut, aku tersenyum sendiri. Rasa lucu pulak. Tapi memang tak patut perbuatan orang yang menipu aku tu. Dengan orang buta pun mereka sanggup menipu. Tapi itu merupakan pengalaman yang sangat berharga bagiku. Pengajarannya, aku mesti berhati-hati dengan sesiapa sahaja dan menjaga barang aku dengan baik. Tidak semua orang celik tu boleh dipercayai terutamanya orang yang kita tidak kenal. Kalau ada barang tu jaga elok-elok. Namun begitu, ada lagi peristiwa aku kena tipu dengan orang celik yang aku tidak kenali. Nanti aku ceritakan lain kali.

2 comments:

  1. askom..abang zam ini cerita yang abang zam betol-betol alami ke?? berani sungguh abang tinggal merata hanya untuk mencari sedikit wang...kalau balik kampung kan semua ni tak jadi..tapi kalu balik kampung tak de pulalah cite ni kan...hahahahaha.. pape pun abg zam memang seorang yang tabah..

    ReplyDelete
  2. betol la cerita ni.
    kalau tidak saya takkan post kan dalam blog.
    ini adalah pengalaman yang berharga untuk menjadikan kita seorang yang kuat dan tabah.
    anyway thank you baca blog saya ni.

    ReplyDelete