Thursday, June 30, 2011

Kelahiran Putera Pertama

Kelahiran putera sulung


Assalamu alaikum para pengunjung blog sekalian. Sudah sekian lama saya tidak menulis lebih kurang hampir dua bulan. Maklumlah terlalu sibuk dengan urusan lain disamping kekurangan idea untuk menulis. Tapi saya berharap kalian tidak pernah jemu untuk mengunjungi blog yang tidak sepertinya ini. Kunjungan kalian ke blog ini amat saya hargai dan dahului dengan ucapan terimakasih.

Pada 15 April yang lalu, saya telah dikurniakan oleh Allah yang maha agung dengan seorang cahaya mata lelaki. Alhamdulillah isteri tersayang telah selamat malahirkan putera sulung saya secara normal. Saya telah diberi kesempatan oleh Allah untuk menemaninya sejak dia dimasukkan ke bilik bersalin sehinggalah dia melahirkan anak kami.

Sebenarnya isteri saya telah dimasukkan ke wad sejak 14 April lagi. Doktor telah memberi tempoh selama sehari untuk isteri saya bersalin secara normal. Jika tidak, pembedahan mungkin akan dilakukan. Situasi itu menjadikan saya dan isteri menjadi bimbang. Ini kerana isteri saya seboleh-bolehnya tidak mahu melahirkan anak secara pembedahan. Saya hanya mampu memujuknya untuk bersabar dan redha dengan ujian yang sedang dihadapi. Pada masa yang sama saya juga telah ditemani oleh ibu mertua saya yang telah beberapa hari datang ke rumah saya untuk menunggu kelahiran anaknya iaitu isteri saya. Kami berulang-alik ke HKL setiap hari sehinggalah isteri saya keluar dari wad.

Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada jiran saya iaitu Makcik Fauziah sekeluarga kerana telahmembantu kami untuk pertgi ke HKL pada jam 2,00 pagi 14 april dan mengambil kamiuntuk pulang ke rumah setelah isteri saya dibenarkan keluar dari wad bersalin. Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka sekeluarga.

Hatiku begitu gembira sekali menyambut kelahiran puteraku. Sebaik sahaja anak saya dilahirkan, saya tidak mendengar suaranya untuk beberapa ketika. Setelah jururawat menepuknya barulah dia menangis kecil. Menurut jururawat, anak saya masih mengantuk yang mungkin disebabkan kesan ubat. Selepas dia dilahirkan saya telah memegang bayi tersebut. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah kerana telah dikurniakan cahaya mata tersebut biar pun saya tidak dapat melihat wajahnya.

Sepanjang berada di wad bersalin untuk menemani isteri bersama-sama ibu mertua, hati saya merasa sayu dan risau apabila kesakitan yang ditanggung oleh isteri saya. Nasib baiklah saya ni kuat semangat. Sewaktu saya masuk ke bilik bersalin, jururawat yang bertugas memberitahu saya bahawa isteri saya tersenyum apabila melihat saya masuk ke bilik bersalin tersebut meski pun dia sedang menahan sakit. Ini menunjukkan bahawa pentingnya sokongan dari suami terhadap isteri saat dia melahirkan anak. Peluh yang keluar dari tubuh isteri saya begitu banyak sekali akibat menahan sakit. Sepanjang dua jam saya berada di bilik bersalin tersebut, saya dapat mendengar bunyi jantung bayi dalam perut isteri saya. Saya juga sempat bersembang dengan jururawat bertugas sambil saya memberi semangat kepada isteri saya. Pada jam 12.48 tengahari jumaat, maka lahirlah putera sulung sayang saya diberi nama Muhammad Amirul Ikram. Semasa ia dilahirkan beratnya ialah 2.7 Kilogram.

Alhamdulillah bayi yang dilahirkan itu sihat walafiat. Pada 16 April, isteri saya dibenarkan untuk keluar dari hospital. Kini sudah 50 hari usia Muhammad Amirul Ikram dan beratnya sudah melebihi 4 kilogram.

Terima kasih diucapkan kepada jiran-jiran dan rakan-rakanyang telah datan menziarahi isteri dan anak saya dan menghulurkan hadiah. Semoga kalian sentiasa mendapat rahmat dari Allah. Doakanlah kesejahteraan dan kebahagiaan kami.

Friday, April 8, 2011

Benarkah Masyarakat Kita Prihatin?..Siri Kedua

Benarkah masyarakat kita ni prihatin???

Asslamualaikum para pembaca apa khabar semuanya? Harap semua rakan-rakan berada dalam keadaan baik hendaknya. Semoga kalian semua sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah sepanjang hayat. Hari ini saya ingin paparkan kepada anda tentang isu yang lebih kurang sama sebagaimana yang telah saya paparkan di dalam blog yang lalu. Ia bukan bertujuan mengkritik sesiapa tetapi untuk peringatan dan pengajaran kita bersama. Isu yang diutarakan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang yang celik tentang keperluan golongan OKU Penglihatan yang selama ini telah diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh mereka. Namun, ini tidak bermakna saya mengatakan semua orang celik itu tak baik/tidak bermoral. Ramai yang baik dan prihatin tetapi masih ramai lagi yang tidak prihatin terutamanya orang Islam/Melayu. Saya percaya bahawa setiap isu yang akan saya paparkan ini bukan sahaja dialami oleh saya seorang sahaja selaku orang yang OKU Penglihatan tetapi juga oleh rakan senasib yang lain. Tambahan pula, dengan menulis isu-isu seumpama ini diharap akan menyedarkan masyarakat agar lebih prihatin kepada golongan OKU Penglihatan.

Saya masih teringat dengan satu peristiwa yang berlaku di Universiti Malaya. Ketika itu saya berada di tahun ketiga. Pada malam tersebut saya mengajak salah seorang rakan saya untuk makan malam di Kedai Sahur di Kolej Kediaman Ketiga. Kami sebenarnya sering ke kedai Sahur pada waktu malam untuk mengisi perut lebih kurang jam 9 hingga 10 malam. Tambahan pula, makanan di situ sedap dan harganya berpatutan. Lagi pun Abang Sahur pernah berkata: “hang jangan bimbang, selagi engkau belajar di sini air aku bagi free.” Justeru, kami sering minum air yang mahal seperti air buah-buahan. Maklumlah free.. hahaha. Pernah sekali Abang Sahur memarahi aku dan rakan-rakan lain kerana meminum air suam sahaja. Semoga Allah membalas kebaikan abang Sahur.

Kembali kepada cerita tadi. Sewaktu aku dan Mohd Nor sedang memanjat bukit di Kolej Kediaman Ketiga untuk pergi ke kedai Sahur, Aku telah didatangi oleh seorang pelajar UM dan bertanyakan sesuatu.

“Pakcik nak pergi ke mana?”
Aku secara spontan berkata:
“Nak tengok anak kat sini.”
Tapi Mohd Nor menyangah kata-kataku.
Dia berkata:
“kau jangan bohonglah”
Aku hanya mampu tergelak sahaja. Begitu juga dengan pelajar tersebut. Dia pun tergelak sambil meninggalkan aku dan Mohd Nor.Mungkin dia sedar bahawa aku memerlinya kerana memanggil aku dan Mohd Nor pakcik.

Lalu aku bertanya kepada Mohd Nor:
“kenapa kau kata aku bohong”
Dia menjawab:
“aku ingat kau kata aku anak kau. Jadi aku katalah bohong. Lagi pun tak logik sebab kau ni masih muda lagi takkan dah ada anak.”

“sebenarnya aku sengaja je nak kenakan budak tu sebab dia panggil kita pakcik. Tak logiklah sebab kita ni masih muda lagi sebaya dengan dia. Takkan dia panggil kita pakcik takkan dia tak nampak muka kita yang masih muda ni.Namanya belajar kat UM tapi tak tahu nak hormat kita. Panggilah abang ke sedaplah sikit. Ini pakcik. Nasib baik dia lelaki. Kalau perempuan jatuhlah saham aku.”

Itulah satu contoh gelagat masyarakat terhadap OKU. Sebenarnya gelaran “pakcik” terhadap saya dan OKU penglihatan yang lain adalah perkara biasa dan sering berlaku walau pun orang yang memanggil “pakcik” adalah lebih tua dari saya atau sebaya. Mungkin agaknya kita berjalan menggunakan tongkat mereka panggil kita pakcik. Keadaan ini mengambarkan bahawa sikap segelintir masyarakat yang mempunyai kelemahan berkomunikasi sehingga tidak tahu membezakan umur seseorang dan memanggil OKU Penglihatan pakcik. Kalau jarak umur jauh lebih tua dari dia tak apalah. Tetapi masalahnya mereka adalah lebih tua atau sebaya dengan kita. Mungkin juga mereka segan nak gunakan panggilan “abang” lalu memanggil kita “pakcik”. Kalau kita tak tahu status umur panggillah sahaja “Encik atau Cik” itu kan lebih baik.

Satu perkara lagi kalau nak pimpin orang buta tu janganlah pegang tongkat. Itu kurang ajar namanya. Apabila tongkat orang buta itu dipegang, ia akan menimbulkan rasa tidak selesa dan menyebabkan kesukaran kita untuk mengesan halangan atau arah pergerakan semasa berjalan. Lebih menyedihkan lagi berdasarkan pengalaman saya, ada yang memegang hujung tongkat dan mengangkatnya tinggi-tinggi seolah menarik binatang ternakan. Malah pernah seorang lelaki yang telah memegang hujung tongkat saya dan meletakkan hujung tongkat tersebut diatas bahunya. Saya terus memarahi lelaki tersebut dan menarik tongkat tersebut. Geram betul hati saya ketika itu. Tapi saya berusaha untuk bersabar dan saya nyatakan pada lelaki tersebut yang saya tidak memerlukan pertolongannya.

Sebenarnya memegang tongkat untuk membantu bukanlah cara yang tepat. Memegang tongkat ini biasanya dilakukan oleh orang perempuan yang ingin membantu. Alasannya segan nak pegang tangan, haram pegang tangan. Selain memegang tongkat, ada juga yang memegang hujung baju, memegang beg dan tak kurang juga yang menggunakan “remote control”. “Remote control” ialah memberi arahan secara lisan sahaja tentang arah yang ingin dituju. Misalnya “kanan sikit, kiri, straight dan lain-lain”. Kadang-kadang tunjuk arah yang diberikan adalah bertentangan dengan kedudukan OKU Penglihatan. Misalnya kanan bagi dia, tetapi kiri bagi OKU Penglihatan tersebut. Senario ini akan menimbulkan kemarahan OKU Penglihatan kerana dia akan merasakan seolah-olah dipermainkan.

Ada juga orang celik yang ingin membantu itu terus sahaja memimpin kita tanpa sebarang pertanyaan atau komunikasi. Keadaan ini menyebabkan OKU Penglihatan merasa kurang selesa. Tapi sebagai orang yang memerlukan bantuan, ada kalanya saya terpaksa mendiamkan diri sahajalah dengan apa yang telah mereka lakukan. Kadang-kadang serba salah saya nak tegur mereka kerana takut mereka terasa hati dan tidak ingin lagi membantu OKU Penglihatan. Jadi nak taknak terpaksa bersabar atau redha sahajalah dengan apa yang berlaku. Jadi nasihat saya kepada orang yang celik kalau nak membantu/atau memimpin OKU Penglihatan bersuaralah terlebih dahulu dan tanya sama ada mereka memerlukan pertolongan atau bertanyakan bagaimanakah cara yang betul untuk membantu kalau tak tahu caranya. Kalau nak pimpin OKU Penglihatan tu elakkanlah dari memegang tongkat. Kalau malu dan segan peganglah tangan ke, beg ke, asalkan jangan pegang tongkat. Itu lebih baik. Kalau pegang tangan tu haram, peganglah bahagian tangan yang berlapik dengan pakaian OKU Penglihatan tersebut. Kalau nak beri arahan tunjuk arah, berilah arahan mengikut kedudukan OKU Penglihatan.

Friday, March 11, 2011

BENARKAH MASYARAKAT KITA PERIHATIN????




Benarkah masyarakat kita ni prihatin?

Hai apa khabar para pembaca sekalian, adakah anda semua sihat? Terima kasihlah kerana masih sudi mengunjungi blog saya ni biar pun jarang-jarang “update”.. Pada hari ini saya ingin mengajak anda untuk membaca sebuah artikel tulisan saya tentang pandangan masyarakat terhadap golongan buta berdasarkan pengalaman saya sepanjang kehidupan. Penulisan ini bukanlah bertujuan mengkritik mana-mana pihak atau menyalahkan pihak tertentu. Tetapi ia sekadar untuk berkongsi pengalaman terhadap isu yang dipaparkan.

Saya sering mengggunakan pengangkutan LRT setiap kali hendak pergi ke Universiti Malaya. Setelah turun di Stesen Universiti, saya akan mengambil bas untuk ke UM. Setiap pagi saya dan isteri akan menggunakan pengangkutan LRT untuk ke tempat kerja dan belajar. Berdasarkan kajian dan pengalaman saya, apabila saya mengira berapa kali saya dapat duduk dalam LRT setiap kali saya berulang-alih dari rumah ke tempat belajar dan kerja, saya dapati saya lebih banyak kali berdiri daripada duduk dalam LRT terutamanya sewaktu hendak pergi ke UM. Sementara itu, isteri saya pula sudah tentulah lebih sukar untuk mendapatkan tempat duduk dalam LRT kerana dia tidak OKU seperti saya. Tetapi setelah 7 bulan isteri saya mengandung dan sejak beberapa bulan ini perutnya semakin besar kerana sarat dengan bayi yang akan dilahirkan bulan April ini .Jadi dia dikategorikan sebagai orang yang layak untuk mendapat tempat duduk dalam LRT seperti mana yang tertulis di dalam LRT di mana tempat duduk yang dikhaskan untuk OKU, orang tua dan ibu mengandung.

Bila saya naik LRT bersama isteri saya, saya lebih mudah mendapat tempat duduk berbanding dengan isteri saya. Situasi ini membuatkan saya berasa serba salah. Mungkinkah para penumpang lebih bersimpati kepada saya yang OKU Penglihatan berbanding dengan perempuan yang mengandung? Adakah mereka menganggap bahawa OKU ini lebih lemah dan patut dikasihani dari perempuan yang mengandung? Dari segi logiknya, perempuan yang mengandung ini lebih memerlukan tempat duduk atas sebab kesihatan berbanding dengan OKU kerana walau pun kita OKU, kita masih sihat dan kuat dari segi fizikal yang lain. Itulah persoalan yang sering bermain di minda saya.

Namun begitu, saya sering juga berdiri dalam LRT kerana tidak diberi tempat duduk. Bukan saya kisah sangat sebab tak dapat tempat duduk, tetapi kadang-kadang saya berasa kecewa dengan sikap sesetengah penumpang yang duduk di tempat yang dikhaskan untuk OKU yang tidak memberikan tempat itu kepada orang yang berhak. Isteri saya pernah menceritakan bahawa apabila saya berdiri di hadapan tempat duduk dalam LRT, ada juga yang buat-buat tidur. Buat-buat tak nampak sedangkan sebelum itu ada di antara penumpang tersebut yang sedang membaca buku dan sebagainya. Bila nampak saya dan isteri saya naik, mereka sengaja buat-buat tidur. Apabila ada orang lain dah beri tempat duduk pada saya/isteri yang mengandung tu, mereka dah tak tidur lagi. Pandai betul mereka berlakon. Gelap betul hati mereka. Mereka buat-buat tidur. Kalau perempuan mungkin boleh dimaafkan, tetapi lelaki. Begitu juga dengan apa yang dialami oleh isteri saya, langsung tidak diberikan tempat duduk oleh penumpang. Mereka juga buat-buat tidur. Menurut pengalaman saya dakan rakan-rakan lain yang OKU Penglihatan, , walau pun mendapat tempat duduk, kebanyakannya diberikan oleh kaum wanita atau orang tua. Malah, rakan saya pernah menceritakan sewaktu dia berada di dalam LRT, ada sepasang kekasih yang sedang duduk berasmaradana, walaupun mereka melihat seorang OKU berdiri di hadapannya. Manakala penumpang lelaki kebanyakan buat tak tahu sahaja. Kadang-kadang walau pun ada tempat kosong, tidak ada seorang pun penumpang yang memberitahu atau memimpin saya ke tampat duduk dan mereka sanggup membiarkan saya berdiri sehingga ke destinasi. Situasi ini menunjukkan bahawa tidak ramai orang awam yang prihatin dengan golongan OKU apatah lagi bangsa Melayu. Berdasarkan pengalman saya dan rakan-rakan yang OKU Penglihatan, pertolongan yang kami perolehi kerap kali datangnya dari orang bukan melayu. Apa dah jadi dengan orang Melayu. Kenapa mereka sukar untuk membantu? Adakah mereka tidak prihatin? Bukan nak mengkritik bangsa sendiri tetapi itulah hakikatnya? Walau pun mereka ini beragama islam dan percaya bahawa buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa, tetapi mereka lebih liat untuk menghulurkan bantuan berbanding bangsa lain. Tetapi yang pastinya, orang melayu lebih suka menderma duit berbanding tenaga kepada golongan OKU. Itulah realiti kehidupan yang saya alami dan pengalaman rakan OKU penglihatan yang lain. Kalau tak percaya buatlah kajian.

Agaknya mereka juga kita boleh pangil OKU juga iaitu OKU hati dan moral. Kalau orang tu dah gelap hatinya, menurut guru saya, samalah seperti binatang. Bila hati kita gelap, iman dah berkurangan atau dah tidak ada. Jadi di sisi Allah, seseorang itu dah tiada nilainya. Begitulah penjelasan guru saya tu. Jadi kesimpulannya, orang yang OKU hati ini samalah seperti binatang juga. Sebab tulah dia orang ni hilang sikap prihatin terhadap orang lain dan pentingkan diri sendiri sahaja, tak pandai nak bersyukur dengan nikmat celik dan tidak cacat yang Allah kurniakan kepada dia. Kita sering diuar-uarkan dengan bangsa Melayu ni lembut hati, berbudi bahasa dan baik hati. Tapi realitinya tak sebagaimana yang diuar-uarkan. Kita sering mengutuk orang Barat yang dianggap sudah rosak akhlaknya. Kita tuduh orang Barat bawa budaya tak baik di negara kita. Tapi kita lupa bahawa orang Barat tu lebih hormat dan prihatin kepada golongan OKU berbanding dengan orang kita. Kalau kita ni betul-betul bagus. Kenapa kita gelap hati sehingga kebaikan yang sedikit pun tak mampu kita lakukan. Fikirkanlah.

Ini baru satu isu iaitu berkaitan dengan pengangkutan LRT. Belum lagi dengan isu lain yang menunjukkan bahawa tidak ramai orang celik yang prihatin dengan OKU Penglihatan sebenarnya terutama bangsa Melayu yang beragama Islam. Maaflah kalau ada yang tersinggung. Ini sekadar berkongsi pengalaman dan luahan perasaan sahaja. Harap-harapnya ianya akan mengubah persepsi masyrakat kita. Jadilah orang yang prihatin. Tak rugi pun. Setiap perbuatan yang baik tu akan dapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Kita tidak mampu meramal masa hadapan,Kita tidak boleh memberi jaminan bahawa kita akan sentiasa celik sepanjang hidup kita. Mungkin anda akan menerima nasib seperti kami. Siapa tahu. Justeru, tunjukkanlah keprihatinan anda kepada kami. Jutaan terimakasih diucapkan kepada insan yang selama ini yang tidak pernah jemu-jemu membantu OKU Penglihatan. Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran yang besar kepada anda