Thursday, November 11, 2010

catatan pengalaman berhari raya

Catatan pengalaman berhari raya

Assalamualaikum para pembaca blog sekalian. Terima kasih kerana masih sudi mengunjungi blog ini meski pun sudah sekian lama tiada pengisian baru iaitu sejak seminggu selepas hari raya Aidil Fitri yang lalu. Maklumlah terlalu sibuk dengan pengajian dan pelbagai tanggung-jawab sosial dan peribadi menyebabkan saya gagal menulis dalam blog saya sendiri. Sekali saya memohon maaf. Meski pun hari raya Aidil Fitri telah lama melabuhkan tirainya dan kini kita sedang menuju ke gerbang Aidil Adha tidak lama lagi, ingin saya kongsikan dengan sahabat sekalian tentang catatan pengalaman say berhariraya dari dahulu sehinggalah sekarang. Walau pun ia sudah melampaui waktu tersebut, saya amat berharap anda sudi membaca coretan ini.


Hari raya kali ini merupakan hari yang sungguh berbeza dan sangat berbanding hari raya yang pernah aku lalui sebelum ini. inilah kali pertama aku berhari raya bersama seorang insan yang bergelar isteri. Tentulah tidak sama dengan zaman bujang dahulu. Pada hari raya kali ini aku telah berhari raya di rumah isteriku pada hari raya pertama. Ini juga merupakan kali kedua aku berkunjung ke rumah isteriku. Alhamdulillah layanan keluarga mereka amat baik sekali kepadaku. Pada hari raya kedua barulah aku pulang ke rumahku di Kampung Gebeng. Pada mulanya aku agak kekok juga di rumah ibu mertuaku. Namun, akhirnya aku dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan persekitaran di rumah tersebut. Aku dan isteri menghabiskan cuti hari raya di kampung selama 5 hari. Tetapi yang tak seronok tu aku tidak ada kenderaan sendiri. Jadi, tak banyak rumah saudara-mara sebelah isteriku yang dapat aku ziarahi kerana perjalanan ke rumah jauh dan memerlukan kenderaan sendiri untuk pergi ke sana. Nampaknya aku mesti mempunyai kenderaan sendiri apabila balik ke kampung bolehlah menziarahi saudara mara yang jauh.

Jika dibandingkan dengan sambutan hari raya sebelum ini, hari raya kali ini lebih menarik dan seronok kerana tidak keseorangan kerana ditemani oleh isteri. Pada hari raya kali inilah aku dapat peluang berkenalan dengan orang kampung dan saudara-mara isteriku yang berkunjung kerumah semasa hari raya ini.Tapi ramai juga yang aku tak sempat untuk berjumpa kerana aku telah pulang ke rumah keluargaku.

Setelah aku kembali ke Kuala Lumpur, satu jamuan hariraya telah diadakan di rumahku telah diadakan pada 3 Oktober 2010. Alhamdulillah ramai juga yang datang ke rumahku iaitu lebih kurang 100 orang yang terdiri dari rakan-rakanku, pelajar Sarjana muda Kaunseling tahun tiga, dan ahli Persatuan Mahasiswa istimewa Universiti Malaya, barisan kepimpinan PERTIS dan lain-lain. Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi hadir ke majlis jamuan hari raya yang tidak sepertinya. Mohon maaf jika terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam majlis tersebut. Memang penat sangat melayan para tetamu. tapi dengan ramainya para tetamu yang datang. Jam 9 malam barulah majlis itu ditamatkan. Para tetamu telah dihidangkan dengan juadah nasi kerabu yang telah ditempah dari jiran,laksa pinang dan nasi impit yang telah dimasak sendiri oleh isteriku.Majlis tersebut memang meriah dan sangat menyeronokkan. Meski pun penat melayan tetamu yang datang, tapi hati berasa puas kerana kedatangan tetamu yang begitu ramai.

Mengimbas kembali pengalamanku pada hari raya aidil fitri sewaktu bujang dahulu, pelbagai pengalaman pahit manis yang aku telah lalui. Pernah juga aku tidak pulang berhari raya di kampung. Tetapi aku berhari raya di Kuala Lumpur sahaja. Peristiwa tersebut berlaku sewaktu sedang menunggu keputusan SPM. Aku sengaja tidak mahu balik ke kampung semata-mata ingin merasai suasana berhari raya di Kuala Lumpur. Sewaktu berada di tingkatan tiga, aku juga tidak balik kampung untuk berhari raya. Sebaliknya aku dan dua orang rakan ku berhari raya di Johor Bahru di rumah besar guruku dan di Sekolah Princess Elizabeth. Sebenarnya aku sudah biasa tidak berhari raya di kampung kerana sewaktu aku belajar di sekolah rendah Princess Elizabeth dahulu, aku juga tidak dapat pulang berhari raya di kampung. Jadi, aku tak kisah kalau tak balik kampung sekali pun. Kadang-kadang aku pulang lewat ke kampung Misalnya hariraya kedua atau ketiga. Tapi berhari raya di Kuala Lumpur memang tidak begitu menarik kerana sukar untuk mendapatkan makanan kerana semua kedai tutup dan semua rakan-rakan pulang ke kampung.

Salah satu isu bila nak balik berhari raya di kampung ialah hendak mendapatkan tiket bas, keretapi atau kapal terbang. Aku suka balik berhari raya dengan menaiki kapal terbang kerana mudah mendapatkan tiket pada tarikh dekat nak raya berbanding dengan bas dan keretapi kerana tiketnya cepat habis. Aku ingat lagi peristiwa aku naik keretapi dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas tanpa tiket. Hal ini berlaku beberapa kali. Peristiwa tersebut berlaku semasa aku bersekolah menengah dahulu pada tahun 1987 hingga 1992. Pada waktu itu perkhidmatan keretapi tak secanggih sekarang. Siapa cepat dialah dapat duduk walau pun dah beli tiket. Dahlah tu pendingin hawa pun tak ada. Aku terpaksa orang yang check tiket sebelum masuk ke platform di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Aku beritahu tukang chek tiket bahawa tiket ada pada kawanku yang telah pun masuk ke platform. Padahal aku langsung tak beli tiket kerana tiket telah habis. Aku tak dapat tempat duduk pada waktu dan terpaksa berdiri sahaja dari Kuala Lumpur hingga ke Kuala Krai barulah aku dapat duduk. Aku tumpang di birai kerusi tempat duduk. Ada juga penumpang yang berdiri duduk diatas surat khabar yang dibentang diatas lantai. Bila orang jaga tiket datang aku katakan kepadanya bahawa tiket aku ada pada rakanku yang berada di gerabak belakang. Akhirnya aku balik kelantan secara percuma sahajalah. Tapi seksa juga kerana tidak ada tempat duduk yang selesa.

Aku juga masih teringat satu peristiwa semasa aku hendak datang ke Kuala Lumpur selepas hari raya. Pada waktu tersebut dek kerana nak dapat tempat duduk, aku naik keretapi dari Tumpat. Apabila keretapi dari Kuala Lumpur sampai sahaja ke stesen keretapi Tumpat, aku terus menaikinya. Ramai juga penumpang yang berada dalam keretapi tersebut. Khabarnya mereka telah menaikinya dari Pasir Mas lagi semata-mata hendak ke Kuala Lumpur demi merebut tempat duduk. Tiba-tiba aku terdengar suara memberi arahan agar semua penumpang turun. Akhirnya semua penumpang terpaksa turun kecuali aku yang telah diberi pengecualian kerana OKU Penglihatan. Kemudian keretapi itu telah bergerak ke dalam satu lokasi dimana keretapi tersebut telah dibasuh dan dibersihkan. Keretapi tersebut telah disembur dengan air dari luar. Setelah selesai, keretapi itu bergerak semula ke platform dan para penumpang yang lain berpusu-pusu menaiki keretapi. Semua tempat duduk telah penuh sejak di stesen Tumpat lagi. Tapi aku sejak awal-awal lagi telah dapat tempat duduk. Sampai di stesen Wakaf Baru, Tiba-tiba aku teras ada orang memijak pehaku. Aku yang agak mengantuk telah tersedar dan terkejut. Rupa-rupanya ada beberapa orang penumpang telah naik melalui tingkap disebelah tempat dudukku. Bengang juga aku. Tapi bila mengenangkan semua orang nak balik KL, aku bersabar sahajalah dengan apa yang berlaku. Lagi pun aku dapat duduk syukurlah.

Suasana dalam keretapi pada waktu itu memang tidak selesa. Keadaan yang sesak dengan penumpang dan ada juga yang merokok memang tidak menyenangkan. Tambahan pula, pada waktu itu keretapi tidak ada penghawa dingin. Tingkap tidak boleh ditutup untuk membolehkan angin dan udara masuk. Jika ditutup, keadaan akan menjadi lebih tidak selesa. Sampai di Stesen keretapi gemas, barulah kesesakan dalam gerabak keretapi menjadi reda. Ini kerana setengah penumpang telah bertukar keretapi kerana meneruskan perjalanan ke Johor Baharu. Bagi yang ingin ke Kuala Lumpur sahaja yang terus berada dalam keretapi tersebut. Bagiku menaiki keretapi memang sangat membosankan. Tapi kerana terpaksa aku naik jugalah. Dah tak ada pilihan. Dulu kalau menggunakan keretapi untuk balik ke Kelantan memakan masa lebih kurang 20 jam. Tapi sekarang tidak lagi. Keretapi sekarang dah canggih. Ada pendingin hawa, tv, dan tak perlu berebut tempat duduk lagi macam dulu.

Pada hari raya aidil adha yang akan tiba tidak lama lagi, kalau tidak ada aral melintang dan dengan izin Allah aku dan isteri akan pulang ke kampung untuk berhari raya dengan menaiki kenderaan sendiri yang baru sahaja aku membelinya. Tapi kereta tersebut belum diperolehi lagi sewaktu aku menulis coritan ini. Tetapi dijangkakan pada hujung minggu ini aku akan memperolehi kereta tersebut. Oleh yang demikian, ini merupakan satu catatan pengalaman yang baru untuk diriku iaitu pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan sendiri setelah sekian lama menaiki kenderaan awam. Aku berharap agar kalian semua mendoakan keselamatan dan kebahagiaan untuk diriku dan keluarga. Selamat menyambut Aidil Adha tidak lama lagi.