Wednesday, December 29, 2010

Memori Sewaktu Menunggu Keputusan SPM (2)

Hai kawan-kawan. Bertemu kembali kita di dalam blog aku yang tidak sepertinya ini. Maaflah dah lama tak “update” blog ini. Maklumlah sibuk dengan kerja dan belajar sehingga terlupa nak menulis. Walau bagaimana pun aku mengharapkan agar kalian tidak jemu-jemu mengunjungi blog ini.

Pada 20 Disember yang lalu pelajar tingkatan lima baru sahaja menamatkan peperiksaan SPM mereka. Aku dapat maklumat ini dari anak saudaraku yang juga telah menduduki peperiksaan tersebut tempoh hari. Sebut tentang Peperiksaan SPM, teringat aku tentang zaman remaja dahulu iaitu pengalaman sewaktu mengambil peperiksaan tersebut pada tahun 1992. Pada waktu peperiksaan tersebut bermula pada pertengahan oktober. Ini kerana sesi persekolahan pada waktu itu bermula pada bulan Disember. Aku bukan nak cerita tentang pengalaman mengambil peperiksaan tersebut. Tapi nak sambung cerita aku dahulu tentang memori sewaktu menunggu keputusan peperiksaan SPM sebagaimana yang pernah aku paparkan dalam blog dalam penulisan yang terdahulu. Ada yang pahit dan ada yang manis.

Setelah aku kena tipu sehingga beg pakaian dan kad pengenalan aku hilang, aku meneruskan kehidupan seperti rutin biasa iaitu menjual tisu dan lain-lain barang yang mudah dibawa di Jalan Melayu Masjid India bersama-sama rakanku, K. Pendapatan agak lumayan jugalah lebih kurang RM 50 seorang. Selepas itu, aku dan K telah mengambil keputusan untuk menjual tishu secara sendirian taknak lagi berkongsi. Ini kerana kami berpendapat ini lebih menguntungkan. Bermula bulan Januari aku melakukan aktiviti tersebut bersendirian. Memang betul pendapatan lebih lumayan dan aku boleh dapat RM 70 hingga RM 100 sehari bergantung kepada keadaan. Tapi kebanyakan mereka yang bukanlah nak beli barang aku tapi lebih kepada bersedekah. Ah tak kisahlah yang penting aku boleh cari dan simpan duit dan tak menyusahkan keluarga aku. Barang perniagan seperti tisu, pen, minyak atar dan lain-lain aku perolehi dari Maidin. Pada masa tu Maidin taklah segah dan popular seperti sekarang. Premisnya pun tak besar mana. Tapi barang-barang boleh diperolehi secara borong dan murah..

Pada awal Januari 1993, aku dan K telah menyewa sebuah bilik di Wisma Datuk Dagang Kampung Baru dengan bayaran RM300 termasuk bil elektrik dan air. Oleh yang demikian, kami tidak lagi tidur di masjid. Sejak itu aku tidak lagi ke Masjid Kampung Baru. Aku semakin leka dengan aktiviti mencari wang dan langsung tidak menjejakkan kaki ke Masjid Kampung Baru. Pada bulan Ramadhan pun aku tidak langsung bersembahyang tarawih di masjid tersebut kerana leka mencari wang. Maklumlah pada bulan Ramadhan ni pendapatan lebih lumayan dari bulan-bulan lain. Aku pernah mendapat pendapatan RM 200 pada salah satu hari pada bulan tersebut. Kalau hari Sabtu pula, lepas maghrib aku sambung pula aktiviti penjualan di pasar Mlm Jln TAR sehingga pukul 10 malam. Pernah beberapa kali juga aku telah dihalau oleh pihak DBKL kerana menjual tisu di pasar malam tersebut. Dah kena halau aku baliklah. Mereka mengugut sekiranya aku tidak balik, aku akah ditangkap dan dibawa masuk ke dalam lori. Ah! Dari kena tangkap, aku mengalah sahajalah.

Pada perayaan aidil-fitri tahun tersebut, aku, K dan Z rakan sebilik aku seorang lagi telah mengambil keputusan tidak balik ke kampung untuk berhariraya. Kami nak rasa suasana berhariraya di Kuala Lumpur. Ini kerana aku belum ada pengalaman berhari raya aidil fitri di Kuala Lumpur. Z dah biasa. Cuma aku dan K sahaja yang belu ada pengalaman tersebutl. Pengalaman tu memang menarik dan tak akan aku lupakan sehingga sekarang.

Pada malam hari raya aidil fitri tersebut aku telah pergi ke Chauket dengan berjalan kaki merentasi Jalan Raja Alang untuk membeli-belah pakaian hariraya bersama K. Selepas pulang dari membeli-belah aku dan rakan-rakan mengemas bilik sehinggalah jam 4 pagi baru siap. Kami pun tidur dan berniat untuk bangun awal agar dapat bersembahyang subuh dan membuat persiapan untuk bersolat hariraya di masjid Kampung Baru. Alangkah malangnya apabila aku terjaga, jam sudah pukul 9,30 pagi. Aku terus mandi dan bersiap sedia untuk pergi bersolat hari raya. Tetapi malangnya apabila aku selesai menuruni tangga bangunan Wisma Datuk Dagang seorang penghuni lain menegurku dan mengajak aku bertandang ke rumahnya. Dia menyatakan sembahyang sunat hariraya telah pun selesai. Aku pun pergilah bertandang ke rumahnya bersama Z dan K. Kemudian aku, dan K telah pergi ke bangunan PWTC untuk menghadiri jamuan hariraya Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Encik Ghafar Baba dengan berjalan kaki. Sesampainya aku di sana, aku telah dilayan dengan baik oleh petugas di sana dan makan di tempat VIP yang disediakan. Selepas itu aku dan K telah pulang semula ke teratak kami di Wisma Datuk Dagang. Pada waktu petangnya pula, aku, K dan Z telah ke rumah Perdana Menteri pula iaitu Tun Mahathir pada waktu itu. Kami pergi dengan menaiki teksi. PM telah memberi RM 5 sebagai duit raya kepada kami. Apabila pulang kami terpaksa menapak agak jauh ke jalan besar untuk mendapatkan teksi untuk pulang ke Kampung Baru. Pada waktu raya semua kedai makan tutup kecuali di Chauket sahaja yang buka. Pada waktu ini, kawasan Chauket dipenuhi oleh pendatang Indonesia. Nak taknak kami terpaksa menghadiri mana-mana jamuan hariraya untuk makan.

Pada hari raya kedua esoknya, kami telah pergi ke rumah rakanku di Taman Melewar Gombak. Disana kami dihidangkan dengan pelbagai juadah yang sedap. Kebetulan pula, isteri rakanku itu memang pandai masak. Aku kenal keluarga ini semasa aku bersekolah dahulu dimana beliau merupakan taukeh kantin sekolah rendah Jln Kuantan. Pada hari raya ketiga, Z mengajak aku dan K beraya di rumah seorang datuk iaitu Datuk Abu Hassan Omar di Jalan 9 Taman TAR Ampang. Kami pergi menaiki teksi. Sampai di rumah tersebut kami telah disambut dan diberikan makan. Tapi aku tak pasti sebenarnya betulkan itu rumah datuk yang dimaksudkan. Ini kerana rakanku tidak tahu alamat rumahnya yang tepat. Pemandu teksi memberhentikan di sebuah rumah yang tengah buat majlis hariraya. Kami pun masuk dan makan. Kami telah mendapat RM 5 sebagai duit raya. Kemudian tuan rumah tersebut telah memanggil teksi untuk kami pulang ke Kampung Baru. Ah! Tak kisahlah yang penting perut kenyang. Rumah siapa tu tak penting;.

Selepas hariraya, aku meneruskan aktiviti mencari wang seperti biasa. Kadang-kadang aku pernah bertemu beberapa orang guru dari sekolah SMK, tapi aku buat tebal muka sahajalah. Ada yang menegur dan bersembang denganku. Aku buat tak kisah sahaja. Kadang-kadang aku terserempak dengan rakan-rakan OKU cacat penglihatan yang lain sama ada yang telah aku kenali atau pun tidak. Di sinilah kami menjalinkan persahabatan.

Semasa aku menjual tishu, ada seorang kakak selalu menegurku dan sering belanja aku air, buah-buahan dan kuih. Namanya kak Ila. Umurnya 19 tahun iaitu dua tahun lebih tua dariku. Orang yang berniaga di sekitar Masjid India sering bertanya samada gadis tersebut kekasihku ke? Mereka kata cantik. Aku senyum sahaja. Tetapi aku tak minta nombor kontaknya menyebabkan kami tidak bertemu lagi selepas aku menyambung pelajaran di tingkatan 6. Beliau selalu berbual-bual denganku sewaktu dia lalu di kawasan tersebut. Pada ketika itu dia sedang belajar di sebuah kolej di Lebuh Ampang dalam jurusan perniagaan. Agaknya sekarang ini dia telah berkeluarga.

Pada suatu hari aku telah pergi ke Chauket untuk membeli barang keperluanku. Kebetulan aku berjalan seorang diri di kawasan Chauket. Tiba-tiba ada seorang lelaki menyapaku dan menawarkan pertolongan untuk membantuku. Aku sangat gembira dan amat berbesar hati menerima tawaran pertolongan tersebut. Tetapi yang hairannya, sewaktu dia memimpin tanganku, tangannya menggigil dan bau badannya seperti bau daun yang kena bakar. Tapi takpalah, yang penting aku ada insan yang sudi menolongku. Beliau telah membantu membawaku ke tempat dimana aku boleh mendapatkan barangan yang aku kehendaki. Banyak juga barang yang aku beli. Dia telah membantuku membawa barangan tersebut. Setelah selesai membeli-belah di Chauket, lelaki tersebut telah menahan sebuah teksi dan meletakkan semua barang yang telah ku beli di bahagian belakang teksi. Selepas aku mengucapkan terimakasih kepada lelaki tersebut. Sesampainya aku didestinasi,selepas aku membayar tambang teksi, aku mengambil barang yang telah dibeli di bahagian belakang teksi. Malangnya ada setengah barang yang telah aku beli telah hilang. Aku bertanya kepada pemandu teksi tersebut. Katanya, itu sahajalah barang yang telah diletakkan oleh lelaki tersebut. Maka tahulah aku bahawa lelaki tersebut telah mencuri sebahagian dari barang yang telah kubeli. Geram juga aku rasa tapi apa nak buat sudah ditentukan Allah bahawa aku akan ditipu sekali lagi oleh orang celik yang mengambil kesempatan diatas kebutaanku. Berlagak baik dan ingin membantu tetapi ada udang di sebalik batu. Aku menceritakan hal tersebut kepada rakanku K. Menurutnya, biasa orang yang melakukan tersebut golongan penagih dadah. K menyatakan orang itu mungkin penagih dadah kerana ada bau daun bakar pada badannya dan kebiasaan badannya juga akan mengigil. Mulai hari itu aku amat berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang menawarkan bantuan untuk menolongku. Aku akan memastikan semua begku atau baranganku dipegang sendiri tanpa menyerahkan kepada orang lain yang tidak dikenali. Bimbang pisang berbuah dua kali. Tapi dalam berhati-hati pun selepas itu aku kena tipu juga. Ah! Lain kalilah aku cerita hal tu. Aku nak habiskan topik ni dulu.

Dalam keputusan SPM yang telah diumumkan pada bulan Februari 1993, aku telah lulus dan melayakkan diriku masuk ke tingkatan 6 di Sekolah Menengah St. John. Oleh yang demikian, aku trpaksa berhenti dari menjual tishu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Untuk dua minggu yang pertama persekolahanku aku masih tinggal bersama rakanku di Kampung Baru. Pada masa yang sama aku berusaha memohon untuk menginap di asrama SMPK Setapak. Ini kerana pengetua pada masa itu tidak membenarkan pelajar tingkatan 6 tinggal di asrama tersebut. Pengetua tersebut telah membuat keputusan bahawa dia tidak membenarkan pelajar yang ingin memasuki tingkatan 6 tinggal di SMK. Sebelum itu seorang rakanku telah meminta kiizinan kepada pengetua tersebut tetapi ditolak mentah[-mentah oleh pengetua tersebut. Akibatnya dia tidak meneruskan pelajarannya di tingkatan 6 sedangkan dia mendapat keputusan yang cemerlang dan sangat berpotensi untuk maju lebih jauh ke hadapan. Mengetahui hal tersebut, aku telah membuat permohonan secara bertulis terus kepada pegawai bahagian pendidikan khas di Pusat Bandar Damansara iaitu Allahyarham Encik Bukhari. Alhamdulillah permohonanku telah dirterima. Setelah itu aku telah masuk semula ke asrama SMPK Setapak untuk meneruskan pengajian di tingkatan 6.

Itulah sahaja kisah aku bersama rakanku K yang mampu aku ceritakan kepada kalian. Bagi aku itu merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup. Aku dapat pengalaman merasai susah payah hidup di kota besar Kuala Lumpur. Bukan semua orang dapat merasai pengalaman ini. Secara realitinya, hidup di kota taklah seindah sebagaimana yang aku gambarkan semasa aku bersekolah dahulu. Disini kehidupan sebenar terlalu banyak dugaan dan rintangan yang mesti aku lalui. Pengalaman ini bukan aku seorang yang melaluinya. K lebih hebat cabarannya dari ku. Dia telah meneruskan hidup dengan menjalankan aktiviti tersebut sehinggalah sekarang. Sedangkan aku telah menyambung pengajianku sehingga sekarang. Namun, aku sering juga berhubung dengan K sehingga dan tidak lupa kepada rakan-rakan lain yang telah kukenali di situ. Pesanku kepada rakan-rakan yang OKU Penglihatan, berhati-hatilah dengan orang celik yang membantu kita. Tapi tidak semua oran celik begitu. Biasanya mereka yang suka menganiaya orang buta ni ialah mereka yang terlibat dengan penagihan dadah. Cuba kenali ciri-ciri mereka. Jangan terlalu mudah percaya orang yang tidak dikenali. Jangan benarkan orang yang tidak kita kenali membawa barangan kita. Takut nanti jadi macam aku.

1 comment: